Pages

Wednesday, September 22, 2010

Kemungkinan serangan ganas ~ libatkan pengebom nekad wanita

Terdapat maklumat serangan bakal libatkan pengebom nekad wanita


PARIS: Perancis kini berjaga-jaga terhadap kemungkinan serangan pengganas selepas maklumat perisikan berkata penyerang mungkin menjadikan tempat perhimpunan awam sebagai sasaran.

Satu maklumat membayangkan serangan dikaitkan dengan seorang pengebom nekad wanita, kata seorang pegawai antipengganasan.

Pegawai tersebut memberitahu Associated Press kelmarin bahawa pihak berkuasa berjaga-jaga terhadap serangan itu Khamis lalu.

Tidak berlaku sebarang perkara luar biasa pada hari tersebut. Namun, pihak berkuasa tidak mengurangkan kawalan, kata pegawai berkenaan.

Kebimbangan itu berlaku selepas lima pekerja rakyat Perancis dan dua rakan setempat diculik di Niger, yang termasuk kawasan operasi kumpulan Al-Qaeda di wilayah Islam Maghreb (Aqim).

Pada 14 September terdapat amaran palsu adanya ancaman bom di Menara Eiffel di Paris.

Minggu lepas, Dewan Senat Perancis meluluskan pengharaman ke atas burqa di Perancis, satu isu yang mencetus amaran daripada Aqim.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Brice Hortefeux, kelmarin berkata: 'Ancaman pengganas memang wujud. Oleh itu hari ini kami tingkatkan tahap berjaga-jaga.'

Namun sewaktu melawat wilayah Seine-et-Marne ke timur Paris, beliau tidak menjelaskan langkah keselamatan yang telah diambil.

Meskipun terdapat amaran, Perancis tidak akan menaikkan tahap amaran ke paras tertinggi, yakni merah menyala. Ia kekal merah yang merupakan tahap amaran kedua paling tinggi.

Ekoran amaran tersebut, pengawal bersenjata sudah ditugaskan untuk melindungi rektor Masjid Jamek Paris, Encik Dalil Boubakeur, sejak Jumaat lalu, kata seorang jurucakap masjid.

Tiga pengawal itu sentiasa berada bersama beliau pada waktu 'pagi, petang dan malam' kata jurucakap masjid, Encik Slimane Nadour.

Namun menurutnya, 'Kami tidak mempunyai maklumat mengenai bentuk ancaman'.

Pegawai antipengganasan itu mengesahkan satu laporan oleh Radio RTL bahawa pihak berkuasa telah menerima maklumat mengenai kemungkinan satu serangan nekad oleh seorang pengebom wanita.

Radio RTL berkata amaran itu datang dari sumber Perancis dan Afrika Utara. Maklumat tersebut dianggap boleh dipercayai sehingga Encik Hortefeux membatalkan lawatan dua hari ke luar Paris.

Ekoran amaran itu, pegawai keselamatan memeriksa sistem pengangkutan di Paris sepanjang hari, tetapi pulang dengan tangan kosong.

Pada hari yang sama, Encik Hortefeux mengadakan satu sidang akhbar di bawah Menara Eiffel bagi mengumumkan bahawa Perancis sedang berdepan dengan ancaman pengganasan.

Seorang pegawai sistem transit awam, RATP, di Paris berkata 'tidak ada ancaman khusus' terhadap bas dan rangkaian kereta api. -- AP.





No comments:

Posting Terkini