Pages

Thursday, September 16, 2010

600 bantah rancangan bakar Quran

KABUL: Sekitar 600 penduduk Afghanistan berhimpun di jalan raya Kabul semalam bagi membantah rancangan membakar Al-Quran oleh sebuah gereja di Amerika Syarikat, walaupun rancangan itu telah dibatalkan.

Para penunjuk perasaan melempar batu ke arah polis antirusuhan selepas mereka dilarang berarak ke kawasan bandar.

Mereka melaungkan slogan anti-Amerika dan membakar tayar untuk mengepung jalan raya.

'Polis dapat mengawal keadaan. Mereka melepaskan tembakan ke udara untuk mengawal penunjuk perasaan itu,' kata jurucap Menteri Dalam Negeri, Encik Zemarai Bashary.

Dalam bantahan serupa pada hujung minggu lalu, dua penunjuk perasaan telah maut selepas bertempur dengan polis.

Paderi Terry Jones daripada gereja Dove World Outreach Center di Florida membatalkan rancangannya membakar Al-Quran sebagai memperingati ulang tahun serangan pengganas ke atas New York dan Washington pada 11 September 2001.

Sementara itu, komander pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan kelmarin berkata rancangan Paderi Jones untuk membakar Al-Quran menjejas kepentingan Amerika di Afghanistan.

'Anda telah melihat sendiri. Anda telah dengar mengenai bantahan di Afghanistan. Imej Al-Quran dibakar telah pun terpahat dalam minda mereka walaupun ia tidak berlaku,' kata Jeneral David Petraeus

Isnin lalu di Kashmir, bantahan serupa menyebabkan 18 orang terkorban apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini