TEHERAN: Wanita Iran yang dikenakan hukuman rejam sampai mati sehingga mencetuskan kemarahan antarabangsa telah mengaku berzina dan mendedahkan tentang pembunuhan suaminya dalam satu wawancara dengan stesen televisyen milik negara itu.
Dalam wawancara itu, yang disiarkan pada malam kelmarin, Sakineh Mohammadi Ashtiani, juga mengkritik peguamnya, Encik Mohammad Mostafaei, yang melarikan diri ke Eropah, kerana memberi publisiti meluas terhadap kesnya, sambil berkata ia telah memalukan keluarganya.
Sebuah kumpulan hak asasi, International Committee Against Stoning, menyifatkan rancangan televisyen itu satu 'propaganda beracun'. Ashtiani sebelum ini menafikan tuduhan berzina terhadapnya.
Dalam rancangan itu, Ashtiani menjelaskan bagaimana dia menjalin hubungan dengan sepupu lelaki suaminya.
'Dia beritahu saya: Ayuh bunuh suami anda. Saya tidak percaya sepenuhnya bahawa suami saya akan dibunuh. Saya fikir dia bergurau,' kata Ashtiani.
'Kemudian saya mendapat tahu bahawa pembunuhan adalah kerjayanya. Dia datang (ke rumah kami) dan membawa semua barang itu. Dia membawa alat elektrikal, wayar dan sarung tangan. Kemudian dia membunuh suami saya dengan menyambungkannya kepada bekalan elektrik,' katanya.
Ketua kehakiman wilayah Azerbaijan Timur memberitahu rancangan televisyen itu bahawa Ashtiani telah menyuntik satu bahan pembiusan ke dalam suaminya.
'Selepas suaminya tidak sedarkan diri, pembunuh sebenarnya membunuh mangsanya itu dengan menyambungkan lehernya kepada bekalan elektrik,' katanya.
Tidak jelas sama ada sepupunya itu sudah turut ditangkap.
Ashtiani, ibu kepada dua anak, dijatuhi hukuman sebat 99 kali kerana berzina dengan dua orang lelaki. Hukuman rejamnya pula ditangguh sementara menantikan semakan kehakiman tetapi masih boleh dijalankan, kata seorang pegawai kehakiman Iran.
Kesalahan membunuh, berzina, merogol, merompak dengan senjata, murtad dan mengedar dadah dikenakan hukuman mati di bawah undang-undang syariah Iran sejak negara itu menjalani Revolusi Islam pada 1979.
Dalam wawancaranya, Ashtiani berkata dia mahu membuat aduan terhadap Encik Mostafaei, yang kini berada di Norway.
'Mengapa anda membuat publisiti kes saya ini? Mengapa anda menjejas reputasi dan maruah saya? Tidak semua saudara-mara dan anggota keluarga saya tahu saya dalam penjara. Mengapa anda lakukan ini terhadap saya?' katanya.
Hos rancangan itu berkata media Barat memberi publisiti terhadap kes itu dengan harapan mendesak Iran supaya membebaskan tiga warga Amerika Syarikat yang dipenjarakan lebih setahun selepas ditahan dekat sempadan Iraq, seperti kata keluarga mereka. -- Reuters
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment