Pages

Friday, August 13, 2010

Bekas tukang masak Osama dihukum jel 14 tahun

GUANTANAMO BAY (Cuba): Sebuah tribunal tentera kelmarin mengenakan hukuman 14 tahun penjara ke atas bekas tukang masak ketua Al-Qaeda, Osama Bin Laden.

Namun, Ibrahim al-Qosi, 51 tahun, akur dengan satu perjanjian sulit bersama para pegawai pendakwa, sekali gus mencetus kemungkinan dia akan dikenakan hukuman penjara yang lebih singkat atau dihantar pulang ke Sudan.

Panel juri 10 anggota bersidang lebih sejam sebelum menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara ke atas Al-Qosi, yang mengaku bersalah bulan lepas terhadap pertuduhan bersekongkol dengan Al-Qaeda dan menyokong pengganasan.

Para juri diberi arahan supaya menjatuhi hukuman dalam lingkungan 12 tahun hingga 15 tahun, dengan mengambil kira tempoh lapan setengah tahun dia telah ditahan di Guantanamo Bay.

'Pihak pendakwa dan pembela akur dengan tempoh penjara antara 12 hingga 15 tahun. Para juri diberi arahan agar tidak keluar daripada batasan itu', kata Encik David Iglesias, seorang jurucakap tribunal tentera kepada AFP.

Para pegawai tentera berkata pengakuan penuh Al-Qosi akan hanya didedahkan selepas beberapa bulan.

Al-Qosi mengakui dia tahu Al-Qaeda sebuah kumpulan pengganas semasa menjadi tukang masak di kem Bintan Jihad yang dikendalikan Osama bin Laden di Afghanistan.

Al-Qosi, yang berjumpa dengan Osama di Sudan pada 1996 dan pergi bersamanya ke Afghanistan, juga mengaku membantu pemimpin Al-Qaeda itu meloloskan diri daripada kepungan tentera Amerika di Pergunungan Tora Bora di Afghanistan.

Selain menjadi tukang masak, Al-Qosi pernah menjadi penolong dan pemandu kenderaan Osama.

Hakim tribunal tentera, Leftenan Kolonel Nancy Paul, mengarahkan Al-Qosi ditahan di Camp Four selama 60 hari sementara pihak tentera memutuskan di mana dia akan menghabiskan baki hukuman penjara itu.

Al-Qosi merupakan tahanan keempat yang didapati bersalah oleh tribunal tentera berkenaan.

Dua tahanan lain menjalani hukuman penjara yang singkat kemudian dihantar pulang ke Australia dan Yaman.

Cuma Ali Hamza al-Bahlul, rakyat Yeman yang menjadi perakam video Al-Qaeda, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. -- AP, AFP, Reuters.


No comments:

Posting Terkini