Saturday, August 21, 2010
Editor dilucut kerana kartun menyindir Najib sebagai Mr U-turn
Kartun kini bukan sekadar bahan jenaka yang mengukir senyuman, tetapi bakal memberi impak besar apabila menyebabkan pelucutan jawatan seorang editor majalah mingguan, dan siasatan polis terhadap seorang penjual buku di bawah Akta Hasutan 1948.
Joseph Seow, Editor Special Weekly telah dilucutkan jawatannya semalam, berikutan kandungan yang tersiar dalam majalah mingguan bahasa Cina itu tidak menyenangkan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Antaranya, kartun yang menyindir Perdana Menteri Najib Razak sebagai "Mr.U-Turn".
Hawee binti Osman pula, seorang penjual buku di Segamat, Johor, telah dipanggil polis Ibu Pejabat Daerah Segamat untuk memberi keterangan sebagai saksi, di bawah Akta Hasutan 1948. Ia berpunca daripada majalah kartun kelolaan Zunar, Sumpah Di Bumi Komisyen, yang dirampas polis pada Mei 2010, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Hawee berkata beliau turut bertanya kepada polis mengapa beliau disiasat di bawah Akta Hasutan, sedangkan rampasan buku dijalankan di bawah Akta Mesin Cetak. Pertanyaan Hawee sekadar dibalas polis dengan "itu arahan (untuk siasat di bawah Akta Hasutan)".
"Mereka tanya dari siapa saya dapat buku ini (Sumpah Di Bumi Komisyen), rangkaiannya, dan sebagainya," kata Hawee kepada MerdekaReview.
Kartun sindir Najib sebagai Mr.U-turn
Sementara itu, menurut sumber maklumat, pihak majikan memberitahu Joseph Seow bahawa beliau telah dimasukkan ke dalam senarai hitam oleh KDN. Justeru itu, jawatan editornya terpaksa dilucutkan, dengan hanya mengekalkan jawatan sebagai staf biasa.
Sepanjang tempoh hampir dua tahun Joseph Seow menyandang jawatan Editor ini, beliau kerap menerima surat dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, mengadu kandungan yang disiarkan dalam Special Weekly. Antaranya, kolum OuYoung Wen Feng dan kartun yang dilukis dengan nama samaran "anak telefon".
Sebelum ini, kolum Ou Young menggunakan gambar poster filem "Happy Together" (bertemakan homoseksual), yang diarahkan oleh Wong Kar-Wai, lantas mengundang "malapetaka" kepada majalah tersebut. Apa yang menarik, pegawai KDN turut menyerbu ke kedai buku, Kinokuniya di KLCC baru-baru ini untuk merampas buku Body to Body.
Selain itu, sumber maklumat berkata, kartun yang dilukis "anak telefon" bakal digugurkan dari majalah tersebut mulai 10 Ogos 2010. Keadaan ini berlaku kerana aduan bahawa karyanya agak "sensitif", misalnya salah satu karya kartun pernah menyindir Perdana Menteri Najib Razak sebagai Mr.U-Turn, yang mencungkil kemarahan pihak KDN.
Bagaimanapun, sejak 13 Julai 2009, penerbitnya, Life Publishers Berhad telah melantik Ketua Pengarang New Life Post (satu lagi majalah di bawah Life Publishers) untuk merangkap jawatan Ketua Pengarang di Special Weekly. Dengan kata lain, dengan tiba-tiba Joseph Seow mempunyai seorang supervisor yang lebih tinggi pangkat daripadanya, lantas ditafsirkan sebagai "dirinya telah diturunkan pangkat". Sebagaimana yang diketahui, tugas utama Ketua Pengarang adalah menapis kandungan Special Weekly yang dianggap "sensitif".
Bagaimanapun, sumber maklumat berkata, dalang di sebalik pelucutan jawatan Joseph Seow kekal menjadi misteri. Menurut sumber, meskipun KDN tidak berpuas hati dengan Joseph, tetapi tidak memberi isyarat jelas untuk melucutkan jawatannya. Maka, ada yang mengesyaki bahawa pemilik majalah Special Weekly, Media Chinese International Limited yang cuba mengambil kesempatan ini untuk melucutkan jawatan Joseph Seow.
Click here to read more at Merdeka Review
Labels:
Berita,
Malaysian Politik,
rasuah,
Seni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment