Pages

Thursday, August 19, 2010

Barua UMNO akan siasat Pencacai UMNO

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia akan menyiasat dakwaan mengenai wujudnya satu 'perlembagaan baru' yang dilakar pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kelmarin memberitahu New Straits Times bahawa polis akan menyiasat bagi memastikan sama ada dakwaan tersebut benar.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada polis akan memanggil Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang membuat dakwaan itu baru-baru ini, memberi penjelasan.

Tan Sri Harussani, dalam satu dialog di Ipoh Ahad lalu, berkata beliau tahu parti dan individu yang terlibat melakar 'perlembagaan baru' itu tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.

Menurutnya ada usaha hendak menggantikan Perlembagaan Persekutuan dengan satu perlembagaan baru yang akan mengetepikan hak orang Melayu dan Islam.

Tan Sri Harussani juga berkata beliau akan mendedahkan maklumat itu jika diminta oleh kerajaan.

Isnin lalu Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

Menteri Bear Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menyifatkan dakwaan itu sebagai satu perkara yang serius.

'Ini satu isu besar dan tidak boleh diambil ringan. Saya percaya akan dakwaan itu kerana seorang mufti tidak akan berbohong mengenai perkara serupa itu,' kata beliau di Pulau Pangkor.

Dr Zambry berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut sehingga melihat sendiri dokumen berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, kelmarin mengesahkan beliau mengetahui tentang kewujudan 'perlembagaan baru' yang dibuat oleh pihak tertentu.

Beliau mendakwa perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semata-mata untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

'Perkara ini memang benar-benar wujud. Ia merupakan idea PKR. Semuanya kerana PKR sedar bahawa sokongan bukan Melayu terhadap pembangkang semakin bertambah. Demi menjamin kelangsungan sokongan itu, Perkara 153 dan Perkara 11 perlu digugurkan,' kata beliau seperti ditukil Utusan Malaysia semalam. -- NST, Utusan Malaysia.



No comments:

Posting Terkini