Pages

Monday, July 19, 2010

Sultan akan soal

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan daripada Raja Noor Jan Shah yang mendakwa dirinya Sultan Melaka bagi membantu siasatan kes penggunaan plat nombor pendaftaran tertera 'DYMM Tuanku Raja Noor Jan Shah' pada kereta mewah jenis Rolls Royce yang dirampas polis kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata Raja Noor Jan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk disoal siasat.

Ini termasuk merakam percakapan bagi mengetahui kaitan dirinya dengan kereta mewah berkenaan.

'Kami (polis) hanya mahu membuat siasatan untuk mengetahui sama ada Raja Noor Jan terlibat atau tidak dengan operasi syarikat pelaburan hartanah yang mempunyai laman web khas itu,' kata Datuk Khalid seperti ditukil Berita Minggu Malaysia semalam.

'Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk mengenal pasti pemilik mutlak kereta tersebut,' tambah beliau.

Kelmarin polis merampas kereta mewah jenis Rolls Royce bernilai RM2.85 juta ($1.22 juta) ketika majlis perasmian bangunan sebuah syarikat pelaburan tempatan di Bandar Puteri, Puchong.

Kereta mewah itu dipercayai disewa dengan bayaran lebih RM600 termasuk khidmat pemandu.

Kereta jenis Rolls Royce itu dikatakan dijadikan gimik untuk membuktikan kejayaan syarikat tersebut dalam bidang perniagaan selain kononnya mendapat sokongan kerabat Kesultanan Melaka.

Datuk Khalid berkata kereta mewah titu sudah dikembalikan kepada pemilik asal dengan surat saman kerana cukai jalan kenderaan berkenaan sudah tamat tempoh.

Pada 2006, Raja Noor Jan mencetus kontroversi apabila menuntut takhta Kesultanan Melaka dengan mendakwa dirinya adalah pewaris sah Raja Alang Abdul Rahman, iaitu anakanda Sultan Abdullah Mohammad 1, Sultan Perak ke-22. -- BMM.


No comments:

Posting Terkini