Pages

Monday, July 19, 2010

Buku pengasas Parti Jamaat ditarik balik

DHAKA: Pemerintah Bangladesh mengarahkan puluhan ribu masjid dan perpustakaan di negara itu menarik balik buku-buku yang ditulis oleh ulama terkenal, Allahyarham Syed Abul Ala Maududi, pengasas Parti Jamaat-e-Islami, menurut laporan kelmarin.

Yayasan Islam, yang dikendalikan pemerintah, membuat keputusan itu selepas buku-buku Maududi dianggap 'anti-Islam' dan besar kemungkinan menggalakkan fahaman militan di benua kecil India, kata pemimpin yayasan itu, Encik Shamim Mohammad Afjal, kepada AFP.

Keputusan pemerintah itu menyusuli penahanan lima pemimpin kanan Jamaat-e-Islami sejak beberpa minggu lalu atas dakwaan menyinggung sentimen umat Islam hingga kepada keganasan dalam mogok seluruh negara baru-baru ini.

'Kami telah mengambil keputusan menarik balik semua buku yang ditulis oleh Maududi daripada semua 24,000 perpustakaan masjid yang dibiayai pemerintah,' kata Encik Afjal.

'Buku-buku Maududi memburukkan nama Islam kerana ia menggalakkan pengganasan dan fahaman militan. Falsafah beliau bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan hadis Rasulullah saw.'

Maududi merupakan pengasas Parti Jamaat-e-Islami yang merupakan parti Islam terbesar di Bangladesh. Dua pemimpinnya kini menjadi anggota parlimen.

Dilahirkan di India, Maududi mengetuai Parti Jamaat di Pakistan selama beberapa dekad sehingga beliau meninggal dunia pada 1979.

Bangladesh mempunyai 270,000 masjid tetapi hanya sebahagian kecil dibiayai oleh pemerintah, kata yayasan berkenaan. -- AFP.



No comments:

Posting Terkini