Pages

Friday, July 23, 2010

Korea Utara kutuk sekatan baru Amerika

HANOI: Korea Utara semalam mengutuk sekatan baru oleh Amerika Syarikat terhadapnya.

Encik Ri Tong Il, jurucakap perwakilan Korea Utara ke Forum Serantau Asean (ARF), berkata sekatan yang diumumkan Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, itu kelmarin mencabul kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Julai lalu.

Ini kerana Majlis Keselamatan PBB mengutuk serangan yang menenggelamkan kapal perang Cheonan pada 26 Mac lalu, mengakibatkan 46 kelasinya maut.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan PBB itu tidak menyalahkan Korea Utara di atas insiden itu. Pyongyang juga menafikan terlibat dalam insiden berkenaan.

'Sekatan itu jelas satu pernyataan permusuhan yang meningkat. Amerika sepatutnya mengorak langkah konkrit ke arah mengadakan dialog jika ia serius mahu membebaskan Semenanjung Korea daripada senjata nuklear,' tegas Encik Ri.

Kenyataannya itu bertepatan dengan ketibaan Cik Clinton di Hanoi bagi menghadiri sidang ARF.

Cik Clinton mengumumkan sekatan perdagangan ke atas Korea Utara ketika melawat Seoul Rabu lalu.

Encik Ri juga menyifatkan latihan bersama tentera laut Korea Selatan dan Amerika dari 25 hingga 28 Julai ini sebagai satu ancaman terhadap keamanan serantau.

'Latihan bersama tentera (Amerika dan Korea Selatan) bukan saja mengancam keselamatan dan kemantapan Semenanjung Korea, bahkan rantau ini secara keseluruhan,' tegas Encik Ri.

Kritikan oleh Korea Utara itu menyusuli bantahan China terhadap latihan perang melibatkan 20 kapal dan 200 pesawat di perairan timur Korea Selatan.

Encik Ri berkata Korea Utara masih komited untuk kembali ke rundingan enam pihak dengan China, Jepun, Russia, Korea Selatan dan Amerika mengenai program senjata nuklearnya.

Namun, Menteri Luar Korea Selatan, Encik Yu Myung-hwan, menyifatkan tawaran untuk berunding itu sebagai satu taktik bagi mengalihkan perhatian daripada kes Cheonan. -- AFP, Bloomberg.



No comments:

Posting Terkini