Pages

Tuesday, July 27, 2010

Fail rahsia tentera AS mengandungi butiran laporan Pentagon Bocor

WASHINGTON: Rumah Putih mengecam tindakan membocor fail tentera rahsia yang mendakwa perkhidmatan perisikan Pakistan membantu kumpulan Taleban.

Laman web Wikileaks menyiarkan kelmarin sekitar 92,000 dokumen mengandungi butiran mengenai perang Afghanistan berdasarkan laporan Pentagon dan pegawai tentera dari 2004 hingga 2010.

Dokumen itu antara lain 'membayangkan Pakistan, yang jelas sekutu Amerika Syarikat, membenarkan perkhidmatan perisikannya bertemu secara langsung dengan Taleban'.

Perkhidmatan perisikan Pakistan didakwa 'mengatur rangkaian kumpulan militan yang menentang askar Amerika di Afghanistan, dan malah merancang membunuh pemimpin Afghan'.

Fail itu turut mengandungi butiran mengenai bertambahnya penduduk awam yang maut di tangan pasukan tentera antarabangsa dan Taleban.

Rumah Putih mengecam penyiaran dokumen itu kerana maklumat tersebut dikatakan boleh membahayakan askar Amerika.

'Amerika mengutuk keras pendedahan maklumat rahsia oleh individu atau pertubuhan, yang boleh membahayakan nyawa rakyat Amerika dan sekutu kami, dan mengancam keselamatan nasional,' kata Penasihat Keselamatan Rumah Putih, Encik James Jones.

Namun, beliau berjanji ia tidak akan menjejas komitmen Presiden Barack Obama untuk 'mengukuhkan' kerjasamanya dengan Afghanistan dan Pakistan.

Duta Pakistan ke Amerika, Encik Husain Haqqani, berkata dokumen itu tidak mencerminkan ke- adaan sebenar.

Bagaimanapun, senator Amerika, Encik John Kerry, berkata ia menimbulkan 'persoalan penting berkaitan realiti dasar Amerika terhadap Pakistan dan Afghanistan'.

Encik Obama menetapkan Julai tahun depan sebagai tarikh permulaan pengunduran askar Amerika di Afghanistan.

Terdapat hampir 150,000 askar Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan. -- AFP.

1 comment:

udanggalah said...

salam..ada orang kejanya cari makan
dengan membocor rahsia pasal tu janganlah nak berselindung mengkhianati negara..akhirnya rahsia akan terbongkar..

Posting Terkini