Pages

Tuesday, June 15, 2010

117 terbunuh, lebih 1,400 cedera

LARI DARIPADA KEGANASAN: Kaum Uzbek berehat selepas mereka menyeberangi sempadan di antara Kyrgyzstan dengan Uzbekistan kelmarin. -- Foto AFP

BISHKEK: Sekurang-kurangnya 117 orang telah terkorban dan lebih 1,485 lain cedera dalam keganasan etnik terburuk di Kyrgyzstan, kata Kementerian Kesihatan, semalam.

'Angka korban di wilayah Jalalabad dan Osh telah mencapai 117 orang,' kata kementerian itu.

Lebih 100,000 kaum Uzbek telah melarikan diri daripada menjadi mangsa keganasan etnik apabila puak Kyrgyz menyerang perkampungan dan rumah kediaman mereka sejak Khamis lalu.

Sebahagian besar pelarian adalah warga tua, wanita dan kanak-kanak dengan kebanyakannya mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

Khemah-khemah pelarian sedang didirikan untuk mereka di beberapa kawasan sekitar Uzbekistan.

Menurut Kementerian Kecemasan Uzbekistan, sebahagian besar daripada pelarian yang tiba di sempadan mengalami luka tembakan.

'Kami melihat ramai orang mati. Saya nampak seorang lelaki mati selepas ditembak di dada. Rumah kami telah dibakar. Saya tidak tahu bagaimana hendak teruskan kehidupan,' kata seorang pelarian Uzbek, Cik Ziyeda Akhmedova, yang ditemui di salah satu khemah pelarian.

Agensi berita Interfax melaporkan, Russia telah menghantar satu batalion askar payung terjun yang terdiri daripada 300 anggota ke kawasan hutan yang berpangkalan di kem Kyrgyzstan bagi mengawal keselamatan.

Sementara itu, China semalam berkata pihaknya akan menghantar sebuah pesawat ke Kyrgyzstan, bagi membawa pulang rakyatnya yang terkandas di negara berkenaan susulan rusuhan etnik itu.

Jurucakap kementerian luarnya yang tidak mahu namanya disiarkan, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah rakyatnya yang terbabit dalam usaha membawa pulang itu.

Kekacauan etnik itu dikatakan dibayangi motif politik.

Mantan Presiden, Encik Kurmanbek Bakiyev digulingkan April lalu dan telah lari ke luar negara.

Penduduk etnik Uzbek menyokong pemerintah sementara yang memerintah sekarang, manakala ramai etnik Kyrgyz di selatan menyokong Encik Bakiyev.

Presiden Sementara, Cik Roza Otunbayeva, menyalahkan keluarga Encik Bakiyev atas kekacauan terbaru yang dianggap cubaan menggagalkan pungutan suara pada 27 Jun depan dan pilihan raya, Oktober depan.

Bagaimanapun, Encik Bakiyev, yang kini hidup dalam buangan di Belarus, menafikan terlibat dalam keganasan itu dan menyalahkan pemerintah sementara kerana gagal melindungi rakyat setempat.

Semalam, pemerintah sementara telah menghantar lebih banyak bekalan makanan dan perubatan ke Osh, yang merupakan bandar kedua terbesar di Kyrgyzstan sedang tembakan masih kedengaran di bandar itu. -- AFP, AP, Reuters.





No comments:

Posting Terkini