Pages

Tuesday, May 11, 2010

Siapakah Yang Perintah Great Britain Sekarang?

Oleh ROZAID A. RAHMAN

KHABARNYA, tidak ada mana-mana parti lagi di Great Britain dapat memberikan indikasi jelas siapakah yang bakal membentuk sebuah kerajaan campuran baru.

Selepas pilihan raya umum yang berlangsung minggu lalu, tidak ada satu parti pun yang berjaya memperolehi majoriti yang membolehkan mereka membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

Maka orang-ramai pun tertanya-tanya siapakah yang sebenarnya memerintah Britain sekarang.

Dari sudut tradisinya, Gordon Brown lah yang masih kekal di pejabat perdana menteri.

Perlembagaan tidak tertulis Britain menyebut, “Jika keputusan pilihan raya umum tidak memberikan mana-mana parti, majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan, maka kerajaan yang sedia ada akan terus kekal sehinggalah atau melainkan perdana menteri dan seluruh kabinetnya menyerahkan surat peletakan jawatan kepada raja. Kerajaan yang sedia ada sebelum pilihan raya berhak menunggu sehingga parlimen baru bersidang untuk melihat sama ada ia masih menerima sokongan daripada Dewan Rakyat atau untuk menyerahkan kuasa jika ia dengan jelas mendapati ia tidak akan mendapat mendapat keyakinan dewan untuk terus memerintah.”

Peraturan ini sebenarnya adalah peraturan yang tertulis dalam manual Pejabat Urusetia Kabinet (sama seperti pejabat Ketua Setiausaha Negara di Malaysia) bagi memastikan sebuah kerajaan masih terus wujud dan sistem pentadbiran awam tidak berada dalam kucar kacir jika situasi di mana tidak ada parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan baru dengan majoriti yang jelas berlaku (sepertimana sekarang).

Sehingga semua kerusi selesai dikira, parti Konservatif memperolehi 306 kerusi, Buruh (parti yang memerintah) 258 kerusi, Liberal Demokrat 57, lain-lain parti kecil dan nasional 28 kerusi.

Bagaimanapun nampaknya ketiga-tiga parti terbesar di Britain telah membuat tafsiran mengikut cara masing-masing.

David Cameron yang mengetuai parti Konservatif berpendapat oleh kerana partinya memperolehi kerusi terbanyak walaupun tidak cukup majoriti untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, maka mereka berhak diberikan opsyen pertama untuk membuka pintu rundingan dengan parti minoriti yang lain.

Sementara Gordon Brown pula percaya, berdasarkan nasihat Setiausaha Kabinet dan manual Pejabat Urusetia Kabinet, beliau berhak untuk terus kekal sebagai perdana menteri dan kerajaan yang memerintah untuk terus berunding dengan mana-mana pihak yang difikirkan sesuai sehinggalah parlimen baru bersidang 25 Mei ini.

Ini memberi ruang kepada Brown untuk terus kekal atas kapasiti kerajaan dan memberi kelebihan kepadanya untuk membeli masa dan juga ruang bagi membentuk kerajaan baru dengan parti yang lebih kecil.

Tetapi dari sudut realitinya Nick Clegg, pemimpin parti ketiga iaitu Liberal Demokrat lah yang sebenarnya memegang kuasa penentu iaitu sama ada hendak bergabung dengan Buruh atau Konservatif bagi membentuk kerajaan Great Britain yang seterusnya.

Clegg menggunakan kuasa tersebut untuk masuk berunding dengan pihak Konservatif terlebih dahulu dan itulah apa yang sedang berlaku sekarang tetapi pada masa yang sama Cameron pula bermain dengan masa untuk menentukan sama ada Konservatif berupaya atau tidak membentuk sebuah kerajaan parti tunggal minoriti.

Pada masa yang sama juga Setiausaha Kabinet telah menghantar sepasukan kakitangan tinggi awam kepada kedua-dua parti Konservatif dan juga Liberal Demokrat untuk memberi taklimat mengenai apa yang terkandung di dalam manual Pejabat Urusetia Kabinet mengenai status kedudukan kerajaan buat masa ini.

Secara teori, berdasarkan manual tersebut, Gordon Brown mempunyai tempoh sehingga 25 Mei ini untuk membentuk kerajaan baru dengan Liberal Demokrat atau mana-mana parti kecil yang memenangi kerusi.

Tetapi menurut bekas pegawai tinggi perkhidmatan awam Britain, Sir Richard Wilson yang kini mengajar subjek pentadbiran awam di Cambridge, Cameron dan Clegg sebenarnya silap apabila mereka mempertikaikan hak Brown untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

"Mereka sebenarnya salah kerana pada hakikatnya ialah Gordon Brown adalah perdana menteri. Anda tidak boleh mengubah fakta itu. Ratu Britain telah melantik beliau sebagai perdana menteri dan sehinggalah beliau meletakkan jawatannya, beliau adalah perdana menteri yang sah.

"Kita semua harus sedar bahawa di negara ini kita tidak memilih seorang perdana menteri. Apa yang setiap seorang daripada kita lakukan ialah memilih ahli parlimen. Dan ahli parlimen itulah yang memutuskan siapa yang mereka akan sokong untuk menjadi perdana menteri, itulah faktor terpenting yang perlu kita semua lihat," ujarnya.

Oleh yang demikian, tegas Wilson, sebagai penyandang jawatan, Brown berhak untuk memperolehi opsyen pertama untuk membentuk kerajaan dalam situasi mana-mana parti pun gagal memperolehi majoriti yang jelas bagi membentuk sebuah kerajaan baru.

Maka Brown boleh menjemput Liberal Demokrat membentuk kerajaan baru seandainya parti itu bersetuju untuk menyokong beliau sebagai perdana menteri. Sehingga itu menjadi realiti, Brown berhak terus kekal sebagai perdana menteri yang sah.

Berdasarkan fakta ini, percubaan Clegg untuk membuka pintu rundingan dengan Cameron terlebih dahulu boleh dilihat sebagai percubaan untuk menafikan semangat ini. Dan ini berlaku kerana tidak ada halangan perlembagaan yang melarang mana-mana pihak daripada membuka pintu rundingan dengan sesiapapun yang dirasakan sesuai.

Brown nampaknya menerima hakikat ini dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkannya dan Clegg pula secara teorinya boleh berunding dengan Cameron dan Brown serentak dan sekaligus menjadi king maker dalam menentukan masa depan kerajaan baru Britain.

Cameron pula berharap kegagalan mana-mana parti membentuk kerajaan campuran akan membuka peluang kepada partinya untuk membentuk sebuah kerajaan tunggal minoriti di dalam dewan dan memaksa Brown menyerah kalah dan meletakkan jawatannya apabila parlimen bersidang 25 Mei ini.

Pada tahun 1974, Harold Wilson berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan sokongan parti-parti minoriti yang lain selepas kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Ted Heath gagal mencapai kata sepakat dengan parti Liberal atau Kesatuan Ulster.

Empat hari kemudian Wilson mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru Britain tetapi tidak sampai lapan bulan, kerajaan pimpinannya runtuh.

Kegagalan mana-mana pihak membentuk sebuah kerajaan campuran yang kukuh dalam tempoh beberapa hari lagi akan menyaksikan sejarah 1974 berulang kembali dan memaksa rakyat sekali lagi ke peti undi.


No comments:

Posting Terkini