Pages

Tuesday, May 11, 2010

10 maut dalam keganasan pilihan raya Filipina

TERKORBAN: Polis memeriksa tapak kejadian jenayah sedang mayat seorang askar marin terbujur di tepi jalan selepas satu pertempuran di bandar Bacoor semalam. Pengawal peribadi seorang calon kongres turut terbunuh dalam pertempuran di luar sebuah balai polis itu. -- Foto AP

MANILA: Sepuluh orang terkorban dan 12 cedera dalam keganasan yang mencemar pilihan raya umum Filipina, sementara masalah mesin pengira undi melewatkan pengundian di beberapa kawasan undi semalam.

Pengundi melarikan diri selepas bom tangan meletup dekat sebuah pondok mengundi, polis menembak mati pengawal peribadi seorang tokoh politik, manakala askar pemerintah bertempur dengan askar peribadi seorang ketua kaum.

Dua orang dilapor terbunuh dan seorang cedera parah di pinggir ibu kota Manila apabila polis bertempur dengan pengawal keselamatan seorang anggota kongres.

Dua pengawal keselamatan ditembak mati selepas bertempur dengan polis bandar Bacoor yang menahan penyokong tokoh politik itu, kata ketua polis daerah Superintenden Primitivo Tabujara.

Seorang pegawai polis parah, sedang dua pengawal keselamatan diberkas.

Di selatan Filipina sekurangkurangnya enam orang terkorban apabila penyerang tidak dikenali melancar serangan roket di pinggir bandar Datu Piang sebaik pengundian dimulakan.

Pusat membuang undi terpaksa dikosongkan dan beratus penduduk melarikan diri dari bandar itu.

'Kami tidak mahu terperangkap dalam pertempuran. Saya ada lima anak, sedang suami saya tiada di sini,' kata Cik Bai Dido Aliman, seorang penduduk yang melarikan diri.

Di wilayah Zamboanga Sibugay, tiga orang ditembak mati dan 10 cedera apabila polis bertempur dengan penyokong seorang datuk bandar, kata jurucakap tentera.

Di wilayah Maguindanao, dua orang terbunuh apabila pengikut dua tokoh politik bermusuhan terlibat dalam pertempuran, kata Leftenan Kolonel Arnulfo Burgos.

Di wilayah Cotabato Utara, sepupu seorang naib gabenor ditembak mati semasa menunggang motosikal sebelum pusat mengundi dibuka. Beliau diserang hendap penyokong calon lawan di bandar Kidapawan.

Di bandar Kapai, selatan Filipina, anak lelaki calon pilihan raya ditembak mati, kata ketua polis wilayah, Superintenden Kanan Panares Adap.

Sekitar 50 juta pengundi berdaftar layak mengundi, daripada penduduk Filipina berjumlah 90 juta orang.

Keputusan awal tidak rasmi menunjukkan Senator Benigno Aquino III, 50 tahun, mendahului calon presiden lain, dengan 35 peratus undi.

Mantan presiden Joseph Estrada, 73 tahun, meraih 27 peratus, manakala jutawan Encik Manny Villar, 60 tahun, meraih 22 peratus undi.

Masalah teknikal turut melanda pengundian semalam. Encik Aquino sendiri tergendala lima jam apabila mesin undi di kejiranannya rosak.

Suruhanjaya pilihan raya melanjutkan pengundian selama sejam lagi bagi menampung kelewatan itu. -- Agensi.


No comments:

Posting Terkini