Pages

Friday, April 16, 2010

Ugut sebar gambar bogel

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki kini hidup dalam ketakutan gara-gara diugut akan disebarkan gambar bogelnya oleh seorang ‘rakan songsang’ yang baru dikenali daripada laman sembang di Internet sejak dua bulan lalu.

Pelajar yang hanya dikenali sebagai Chong, 22, berasal dari Sarawak dikatakan datang ke ibu negara untuk menyambung pelajaran sebelum terperangkap dengan kata-kata lelaki berkenaan untuk melakukan onani di hadapan kamera web.

Menurut Chong, sejak tahun 2008, dia pernah bersembang beberapa kali dengan lelaki mendakwa sebagai seorang jurukamera itu, bagaimanapun enam bulan kemudian, dia dikatakan telah melakukan kesilapan besar.

“Dia meminta saya berbogel serta melakukan onani menerusi kamera web ketika kami sedang berbual dan saya melakukan perbuatan itu tanpa mengesyaki apa-apa.

“Malah, saya tidak mensyaki aksi berkenaan rupa-rupanya dirakam,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di sini semalam.

Menurutnya, secara tiba-tiba pada 14 Mac tahun ini, dia menerima mesej ugutan daripada lelaki berkenaan menerusi laman sembang memintanya mengadakan hubungan seks, malah turut mengugut jika tidak dituruti, gambarnya akan disebarkan menerusi Internet.

“Saya tidak menuruti permintaan berkenaan ketika itu, tetapi saya pergi menemui lelaki itu akibat ketakutan dan menyerahkan wang sebanyak RM200.

“Bagaimanapun, kejadian sama berulang kembali pada 8 April lalu apabila mangsa diminta untuk menyerahkan lagi wang sebanyak RM250,” katanya.

Chong berkata, dia terpaksa menuruti permintaannya kerana bimbang gambarnya disebarkan kerana lelaki berkenaan menggunakan gambar bogel itu sebagai cara untuk memeras ugut.

Ekoran ugutan terbaru itu, Chong bertindak nekad untuk melaporkan kepada Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA bagi mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau percaya ramai mangsa terlibat dalam kes seumpama ini dan kes terbaru ini bukanlah sesuatu yang pelik.

“Sebelum ini juga kita pernah menerima aduan daripada lelaki yang menjadi mangsa ugutan lelaki,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan kenalan baru dikenali di Internet.

No comments:

Posting Terkini