Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk mengirim RM100 di bawah Program Penghargaan Warga Emas ke alamat penerimanya. Ini adalah untuk memudahkan pengagihan wang tersebut agar warga emas tidak perlu bersusah-payah untuk berkunjung ke pusat khidmat ADUN untuk mendapat sumbangan wang sebanyak RM100. Sumbangan tersebut akan dikirimkan selepas pelancaran Program Penghargaan Warga Emas yang akan diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang pada 21.3.2010.
Bersama sumbangan tersebut, akan disertakan satu salinan surat daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan kandungannya seperti berikut:
Tuan/Puan,
Program Penghargaan Warga Emas Negeri Pulau Pinang Sebanyak RM100 Setahun
Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat sentiasa berusaha mendengar suara rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada semua. Kerajaan berjiwa rakyat boleh disempurnakan menerusi prinsip 3P-Perkasakan, Perkuasakan dan Perkayakan rakyat.
-Perkasakan rakyat dengan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pendidikan serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat demi mewujudkan kemakmuran rakyat.
-Perkasakan rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban supaya semua dapat peluang yang saksama dan berjaya atas usaha sendiri.
-Perkayakan rakyat dengan perkongsian kekayaan dan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi.
Julung kali dalam sejarah Pulau Pinang, warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang bermastautin di Pulau Pinang diberi penghargaan wang tunai sebanyak RM100 setahun. Ia adalah hadiah simbolik kerajaan negeri kepada semua warga emas atas sumbangan dan usaha mereka yang membolehkan Pulau Pinang mengecapi kejayaan hari ini, baik dari segi sosio-ekonomi mahupun dalam aspek perpaduan dan harmoni masyarakat majmuk.
Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mampu berbuat demikian hanya atas amalan belanjawan berhemah, jimat-cermat, urus tadbir baik berdasarkan CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) berdasarkan ‘amar maa’ruf nahi mungkar’. Urus tadbir CAT mendapat pengiktirafan oleh badan antarabangsa anti rasuah terunggul, Transparency International, yang buat kali pertamanya memuji sebuah kerajaan negeri di Malaysia. Laporan Ketua Audit Negara juga memuji kejayaan kerajaan negeri yang menukarkan anggaran defisit Belanjawan 2008 sebanyak RM35 juta kepada rekod lebihan RM88 juta dan anggaran defisit Belanjawan 2009 sebanyak RM40 juta kepada lebihan RM77 juta.
Kerajaan negeri berasa kesal pihak lawan politik kami telah cuba sabotaj program penghargaan wang tunai RM100 ini dengan tuduhan pemberian wang kepada warga emas adalah satu tindakan rasuah. Walaubagaimanapun, kami akan meneruskan program ini dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang siasatan atau tindakan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Penghargaan wang tunai RM100 kali ini merupakan kesinambungan kerajaan PR yang telah pun berjaya membasmi miskin tegar, memberikan rebet air RM100 kepada hampir 170,000 keluarga susah dan juga sumbangan beras percuma pada tahun 2008-2009. Jangan ingat anda dilupakan apabila anda sudah tua. Selagi kerajaan PR Pulau Pinang ada, kepentingan warga emas akan diambil berat dan anda akan sentiasa dalam memori.
Usia Emas pujaan hati,
Tak lekang dek panas mahupun hujan,
Jasa dan budi di serata bumi,
Sanjungan rakyat berzaman-zaman.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang
No comments:
Post a Comment