JAKARTA: Ribuan pengikut kumpulan tegar Hizbut Tahrir semalam mengadakan tunjuk perasaan secara aman di beberapa bandar di Indonesia sebagai membantah lawatan yang bakal dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, lewat bulan ini.
Mereka mengadakan bantahan di Surabaya, Makassar, Solo, Yogyakarta dan Pontianak.
Sekitar 2,000 penunjuk perasaan memekik slogan 'Islam yang bersatu tidak boleh dikalahkan. Tolak Obama' sambil mengoyakkan bendera Amerika semasa mereka berarak di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan.
'Kami tahu (Encik) Obama pernah tinggal di Indonesia semasa kecil, tetapi sebagai presiden, dasar beliau bertentangan dengan kepentingan rakyat Indonesia,' kata Encik Nasrudin, penganjur bantahan di Makassar.
'(Encik) Obama sama dengan (mantan presiden Amerika Encik) George Bush, yang menghancurkan umat Islam di Iraq dan Afghanistan. Oleh itu, kita mesti menolak lawatan Obama ke Indonesia,' tegas beliau.
Di Surabaya, polis memantau bantahan yang diadakan oleh 2,000 penunjuk perasaan di luar Pejabat Konsul Amerika di sana. Namun tiada sebarang kekacauan berlaku.
Bantahan turut diadakan di Solo, Yogyakarta, di Jawa Tengah, selain di Pontianak, Kalimantan Barat dan di Mataram.
Di bandar Solo, 500 anggota Hizbut Tahrir membawa poster berbunyi: 'Usir Obama, pemimpin penjajah' dan 'Amerika Sebenarnya Pengganas.'
Jurucakap kumpulan itu, Encik Nur Alam, berkata:
'Ada dua jenis pelawat, satu baik satu jahat. (Encik) Obama jahat. Beliau mungkin tidak sama kulit dengan (mantan presiden Amerika Encik) George Bush, tetapi beliau masih menindas umat Islam.'
'Beliau mungkin dibesarkan di Indonesia, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menolak beliau. Beliau seorang tokoh jahat, tangan berlumuran darah dan beliau tidak ada simpati,' tambah Encik Nur Alam.
Encik Obama dijadual berlepas dari Amerika pada 21 Mac bagi lawatan tersebut, yang termasuk persinggahan di Guam dan Australia.
Dua pertubuhan Islam di Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, mengalu-alukan kedatangan beliau. -- AP, AFP.
Monday, March 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment