Pages

Tuesday, March 9, 2010

500 mati dalam rusuhan kaum di Nigeria

JOS (Nigeria): Pemerintah Nigeria semalam menghantar askar ke bandar Jos, ibu wilayah Plateau, selepas kumpulan bersenjatakan parang menyerang kampung-kampung Kristian menyebabkan sekurang-kurangnya 500 orang terkorban.

Pihak berkuasa, yang sebelum ini dikecam hebat kerana gagal mencegah rusuhan antara penduduk Islam dan Kristian, berkata berpuluh orang sudah diberkas menyusuli rusuhan tersebut.

Angka korban pada mulanya dikatakan lebih 100 orang, tetapi penasihat gabenor wilayah Plateau, Encik Dan Manjang, berkata ia sudah meningkat.

'Kami berhasil membuat 95 tangkapan tetapi pada masa sama 500 penduduk terkorban dalam serangan yang dilakukan suku kaum Fulani,' kata beliau dalam satu wawancara telefon.

Pejabat Pemangku Presiden, Encik Goodluck Jonathan, berkata pasukan keselamatan sudah diletak dalam keadaan berjaga-jaga di Plateau untuk memastikan kekacauan tidak merebak.

Para saksi menceritakan bagaimana wanita dan kanak-kanak ditangkap menggunakan perangkap binatang dan jala ikan sebelum ditetak sampai mati dengan parang oleh penyerang mereka.

Radio pemerintah juga melaporkan bahawa 500 orang dibunuh dalam serangan waktu malam ke atas tiga kampung di pinggir bandar Jos.

Para saksi dan aktivis hak asasi berkata angka korban melebihi 200 orang.

'Menurut kiraan terbaru kami, sudah ada 202 mayat,' kata Encik Shamaki Gad Peter, pemimpin Liga Hak Asasi (LHR) di Jos.

Seorang lagi aktivis, Encik Shehu Sani, berkata 250 orang terkorban.

Sebahagian besar kekacauan berpusat di kampung Dogo Nahawa, tempat kumpulan bersenjata daripada etnik Fulani beragama Islam membakar rumah-rumah beratap jerami sebelum membunuh para penghuninya.

Seorang penduduk Dogo Nahawa, Encik Frank Tatgun, berkata beliau nampak kenderaan berperisai dan tiga trak tentera tiba di kampung tersebut. Kini askar-askar sudah mula meronda.

Menurut beliau, tidak berlaku sebarang rusuhan baru malam kelmarin, selepas kawalan keselamatan diperketat.

Penduduk berkata serangan Ahad lalu itu berpunca daripada perbalahan berlanjutan antara suku kaum Fulani dan suku kaum Berom, yang dicetuskan oleh insiden mencuri lembu, yang kemudian mencetus serangan balas dendam.

Para saksi berkata dalam serangan Ahad lalu, kumpulan bersenjata menakut-nakutkan mangsa agar keluar dari rumah dengan melepaskan tembakan ke udara.

Sebahagian besar mangsa mati akibat ditetak dengan parang semasa hendak melarikann diri ke dalam hutan. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini