KOTA BARU, Jan 5 — Gara-gara keliru dengan kenyataan berhubung kesihatan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, seorang ahli perniagaan menggelarkan dirinya sebagai rakyat prihatin terhadap isu-isu semasa membuat laporan polis.
Individu yang hanya ingin dikenali sebagai Rosli itu memberitahu pemberita beliau bukan mewakili mana-mana pihak yakin rakyat setuju dengan tindakannya itu memandangkan kekeliruan kenyataan antara pihak kerajaan negeri dan istana.
“Saya tidak mewakili mana-mana pihak, tetapi secara peribadinya saya anggap mewakili rakyat Kelantan yang prihatin terhadap isu-isu semasa.
“Saya buat laporan kerana keliru dengan kenyataan dikeluarkan akhbar dan internet.
“Surat khabar hari ini melaporkan, satu pihak mengatakan Tuanku masih gering. Satu pihak pula kata Tuanku sudah sihat.
“Percanggahan kenyataan-kenyataan yang semacam ini membuatkan rakyat menjadi pening,” katanya ditemui di pekarangan pejabat polis daerah Kota Bharu, petang tadi.
Kelihatan empat individu lain bersamanya.
Dai berkata, tindakan itu tidak didorong oleh mana-mana pihak atau tersimpan apa-apa motif di sebaliknya, tetapi hanya meminta pihak polis membuat siasatan terhadap percanggahan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
“Kita sebagai rakyat ingin mendengar kenyataan yang benar. Tapi kalau bercanggah begini kita menjadi keliru,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Zahruddin Abdullah mengesahkan pihak polis menerima laporan tersebut.
Semalam Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan berdasarkan laporan enam pakar dilantik kerajaan negeri sebagai panel bertindak memantau dan menyediakan laporan perubatan baginda merumuskan baginda stabil dan boleh dibawa pulang untuk menerima rawatan susulan di tanah air.
Bagaimanapun Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry menyangkal kenyataan Menteri Besar kelantan itu.
“Sejak ayahanda dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, mereka tidak pernah melawat dan menjalankan pemeriksaan.
“Bagaimana mereka boleh mengeluarkan laporan yang merumuskan tahap kesihatan terkini ayahanda,” kata Tengku Muhammad Fakhry.
Tengku Muhammad Fakhry turut membaca laporan kesihatan ayahandanya yang dikeluarkan hospital berkenaan menunjukkan keadaan baginda adalah lebih baik berbanding laporan perubatan dikeluarkan oleh panel dilantik kerajaan negeri.
Beliau juga memaklumkan penubuhan panel tersebut tidak pernah dimaklumkan kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.
Tuanku Ismail dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 24 Mei lalu.
Tuesday, January 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment