Populariti menjunam antaranya kerana rakyat Amerika tidak puas hati terhadap cara isu ekonomi ditangani
Oleh
Suhana A. Samat
PADA 20 Januari tahun lalu, Encik Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dengan menjanjikan 'perubahan'.
Beliau menggesa rakyat Amerika agar 'bangkit sekali lagi mengharungi arus sejuk membeku dan berdepan dengan ribut yang bakal melanda'.
Harapan ke atas Encik Obama membawa perubahan kepada rakyat Amerika, yang terpukul krisis ekonomi terburuk sejak 1930-an, begitu menggunung.
Kini, setahun kemudian, apakah harapan itu berjaya dicapai dan janji dikota?
Apakah istilah 'perubahan' dan 'harapan' sudah berubah menjadi 'kekecewaan'?
Tinjauan terbaru Gallup seakan menggambarkan keadaan sedemikian.
Populariti Encik Obama kini berada di tahap terendah sejak beliau menjadi presiden. Pada November lalu, sekitar 47 peratus responden berkata mereka berpuas hati dengan kelakonan Encik Obama.
Peratusan itu meningkat sedikit kepada 50 peratus bulan ini. Ini berbanding dengan 63 peratus sokongan setahun lalu.
Sentimen seorang jurujual di Seattle, Encik Glen Boyd, mungkin menggambarkan sentimen rakyat Amerika yang lain.
Setahun lalu, semasa Encik Obama menjadi Presiden, Encik Boyd berkata:
'Saya rasa begitu bangga. Saya rasakan beliau (Encik Obama) adalah calon yang terbaik. Saya rasa optimistik.'
Kini Encik Boyd hanya berkata:
'Kami percayakan apa yang beliau katakan dalam ucapan 'ya, kita boleh'. Soalan saya kini ialah, di mana ucapan-ucapan yang meyakinkan itu sekarang?'
DASAR DALAM NEGERI
Salah satu faktor mengapa populariti Encik Obama menjunam ialah rasa tidak puas hati rakyat Amerika terhadap cara beliau menangani masalah ekonomi negara itu.
Mereka rasakan respons pentadbiran Encik Obama terhadap kemelesetan ekonomi lebih menguntungkan golongan kaya dan berpengaruh daripada golongan pendapatan pertengahan dan rakyat biasa.
Walaupun ekonomi Amerika sedang pulih daripada kemelesetan terburuk dalam sejarah dan pertumbuhan dicatatkan pada suku ketiga tahun lalu, ia masih belum menunjukkan kesan dari segi pengambilan pekerja.
Kadar pengangguran di negara itu ialah 10.2 peratus.
Rakyat Amerika berasa marah kerana Encik Obama lebih menumpukan perhatian terhadap perlaksanaan menyeluruh ke atas sistem jagaan kesihatan yang akan menelan belanja lebih AS$900 bilion ($1.2 trilion) sepanjang sedekad berbanding usaha mewujudkan pekerjaan.
Rasa tidak puas hati sudah pun menimbulkan kebimbangan kepada Parti Demokrat, yang khuatir kehilangan penguasaan dalam Dewan Perwakilan dan Senat apabila pilihan raya separuh penggal diadakan pada 2 November depan.
Ramalan awal Parti Demokrat mungkin kehilangan sehingga 25 kerusi dalam Dewan Perwakilan dan lagi lima dalam Dewan Senat.
Ini tidak akan menyebabkan Parti Demokrat kehilangan kuasa majoriti dalam kedua- dua dewan itu tetapi akan melemahkan kedudukan Encik Obama untuk meluluskan sebarang undang-undang baru.
Kejutan awal sudah pun berlaku apabila calon Parti Republikan, Encik Scott Brown, memenangi pilihan raya kerusi Senat Massachusetts Selasa lalu.
Mengulas sehari kemudian, Encik Obama mengakui beliau mengabaikan hubungan secara langsung dengan rakyat Amerika.
Ekoran daripada kekalahan itu, beliau dan anggota Kongres Parti Demokrat membayangkan kesediaan bertolak ansur bagi menyelamatkan rang pembaharuan jagaan kesihatan.
Awal-awal lagi, Encik Obama menggesa rakyat Amerika agar bersabar dan tidak berputus harap walaupun perubahan yang dijanjikan lambat dicapai.
Menurut beliau, lawatannya ke Asia baru- baru ini merupakan langkah penting bagi eksport Amerika dan menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau pulang dengan tangan kosong.
'Walaupun ia akan mengambil masa, saya berjanji kita sedang bergerak ke arah yang betul; langkah yang kita ambil ini akan membantu,' tegas Encik Obama pada Sabtu lalu.
'Yang penting, saya telah berbincang dengan pemimpin di setiap negara yang saya lawati mengenai apa yang kita boleh lakukan untuk mengekalkan pemulihan ekonomi dan mengembalikan semula pekerjaan dan kemajuan untuk rakyat kita.'
DASAR LUAR NEGERI
Sepanjang setahun menjadi Presiden Amerika, Encik Obama banyak menumpukan perhatian kepada dasar luar negara.
Encik Obama berbeza daripada Presiden Amerika yang lain kerana beliau ingin menyebarkan mesej bahawa negara adikuasa itu rakan kepada negara dunia lain.
Beliau menawarkan dialog dengan Iran serta hubungan lebih baik dengan Moscow dan Beijing.
'Sebahagian besar tahun pertama pentadbiran Obama merupakan tahun bagi kata-kata, ataupun tahun bagi memberi ucapan.
'Beliau telah melakarkan aspirasinya dan kini sudah tiba masanya mengubah kata-kata itu kepada tindakan,' kata seorang pengamat politik.
Mampukah Encik Obama memujuk Teheran menghentikan program nuklearnya? Dapatkah beliau menggembleng negara kuasa dunia mengenakan sekatan tambahan ke atas Iran?
Sejauh ini, tawaran mengadakan dialog gagal mencatat sebarang kemajuan. Keadaan kini dirumitkan dengan pergolakan dalaman Iran, memandangkan gerakan pembangkang semakin lantang menyusuli pertikaian berkaitan keputusan pilihan raya presiden pada 12 Jun tahun lalu.
Bagaimana pula dengan usaha memujuk Korea Utara kembali ke meja rundingan bagi melupuskan program nuklearnya?
Ini selain ketegangan dengan China, kreditor terbesar Amerika.
2010 lantas tahun bagi dunia melihat sama ada pendekatan baru yang diambil pentadbiran Encik Obama dapat membuahkan hasil.
AMERIKA DAN DUNIA ISLAM
Sepanjang setahun lalu, pentadbiran Encik Obama telah menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Amerika bukan musuh Islam.
Bermula dengan lawatannya ke Turkey dan kemudian ucapannya di Universiti Kahirah di Mesir, mesejnya jelas bahawa Amerika tidak berperang dengan agama Islam.
Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, pula antara lain telah melawat Indonesia dan Afghanistan.
Langkah itu amat strategik dalam melawan pengganasan, dengan Yaman menjadi negara terbaru menyertai Amerika dalam usaha menentang pengganasan menyusuli tindakan warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, 23 tahun, yang gagal mengebom pesawat Northwest bulan lalu.
Umar mengakui mendapat latihan oleh Al-Qaeda sewaktu belajar di Yaman.
Isu damai Palestin telah lama menjejas hubungan Amerika dengan Dunia Islam. Alasan 'pembelaan Palestin' sering digunakan oleh anggota kumpulan pengganas untuk menyerang kepentingan Amerika atau Barat.
Encik Obama menjanjikan pendekatan baru bagi penyelesaian konflik Timur Tengah, dengan mengarahkan Israel agar menghentikan pembinaan petempatan Yahudi.
Namun, sejauh ini, rancangan damai masih mengalami kegenjotan apabila Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, enggan memenuhi tuntutan itu.
Dengan pergolakan masih berterusan di Iraq, Afghanistan dan Pakistan serta krisis Timur Tengah masih belum nampak penghujungnya, mengapa Jawatankuasa Nobel tetap menganugerahkan Encik Obama Hadiah bagi Keamanan 2009?
Jawatankuasa Nobel berkata sumbangan Encik Obama yang paling menonjol ialah 'usaha luar biasa beliau mengukuhkan diplomasi antarabangsa dan kerjasama di antara manusia'.
Memang setahun satu masa yang singkat bagi mengubah segalanya. Peperangan, permusuhan, kegawatan dan kebencian tidak mungkin lenyap semalaman.
Kekecewaan yang dirasakan rakyat Amerika dan masyarakat dunia lantas mungkin lebih disebabkan oleh harapan yang terlalu tinggi yang diletakkan di bahu Encik Obama.
Seperti kata Encik Beverly Wardell, 65 tahun, yang tinggal di New Jersey:
'Beliau (Encik Obama) bercakap dengan begitu fasih dan rakyat memahami apa yang dikatakan dan percayakan beliau. Jika jangkaan sudah meningkat, ia bukan salah Encik Obama sepenuhnya.
'Saya rasa rakyat terlalu terdesak (selepas pentadbiran Encik George W. Bush) sehinggakan Encik Obama dianggap sebagai satu sinar harapan. Jadi masalahnya, kita yang meletakkan harapan terlalu tinggi.'
PENCAPAIAN DAN PERUBAHAN SEPANJANG SETAHUN
2009
20 Jan: Encik Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44.
22 Jan: Menandatangani perintah eksekutif menutup pusat tahanan Guantanamo Bay, mengharamkan penjara Agensi Risik Pusat (CIA) di luar negara dan melarang CIA menggunakan teknik kasar ke atas tahanan.
17 Feb: Menandatangani rang bagi pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$787 bilion ($1 trilion). Beliau meluluskan rancangan menghantar lagi 17,000 askar ke Afghanistan.
27 Feb: Mengumumkan pengunduran semua askar tempur Amerika dari Iraq menjelang Ogos 2010 tetapi berpuluh ribu askar sokongan akan kekal.
20 Mac: Membuat rayuan kepada rakyat Iran secara langsung dan menggesa agar permusuhan yang berlarutan berdekad lamanya ditamatkan. Encik Obama menawarkan rundingan 'ikhlas' dengan Iran.
5 Apr: Berikrar menerajui usaha mewujudkan dunia yang bebas daripada senjata nuklear semasa sidang puncak bersama pemimpin Kesatuan Eropah (EU) di Prague.
4 Jun: Dalam ucapannya di Universiti Kahirah, Mesir, Encik Obama mengisytiharkan Amerika mahu membuka 'lembaran baru' dengan 1.5 bilion penganut Islam sedunia dan menggesa agar segala kecurigaan dan permusuhan dilupakan.
22 Jul: Berikrar mematuhi perjanjian bagi mengundurkan semua askar Amerika dari Iraq menjelang akhir 2011 selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq, Encik Nuri Al-Maliki, di Rumah Putih.
9 Sep: Mengarahkan Anggota Kongres meluluskan rang jagaan kesihatan yang menyeluruh dan mengisytiharkan 'masa bersengketa sudah tamat'.
23 Sep: Berucap di Perhimpunan Agung PBB buat pertama kali, sambil mencabar pemimpin dunia lebih memikul tanggungjawab penting dunia.
Beliau juga menjanjikan Amerika yang lebih bekerjasama dengan negara lain.
25 Sep: Di sidang puncak G-20 di Pittsburgh, Encik Obama berkata beliau dan pemimpin 20 negara ekonomi terbesar dunia telah mengambil tindakan menyelamatkan ekonomi sejagat daripada keruntuhan dan menyelamatkan serta mewujudkan berjuta-juta pekerjaan.
9 Okt: Encik Obama menang Hadiah Keamanan Nobel.
14 Nov: Di Tokyo, dalam rangka lawatan pertamannya ke Asia, Encik Obama mengisytiharkan Amerika akan lebih terlibat di Asia.
1 Dis: Mengarahkan tambahan 30,000 askar Amerika ke Afghanistan. Beliau berjanji membawa pulang askar itu dalam tempoh 18 bulan.
18 Dis: Menghadiri sidang puncak perubahan iklim di Copenhagen tetapi gagal mencapai perjanjian yang menyeluruh bagi menangani masalah pemanasan sejagat.
24 Dis: Dewan Senat meluluskan rang jagaan kesihatan.
28 Dis: Berikrar melakukan apa saja bagi memastikan rakyat Amerika selamat dalam kenyataan pertamanya selepas percubaan mengebom pesawat Northwest yang gagal pada Hari Natal.
2010
5 Jan: Mendedahkan pihak berkuasa mempunyai maklumat yang cukup untuk menghalang percubaan meletupkan pesawat Northwest tetapi agensi perisikan gagal menganalisis maklumat yang ada.
12 Jan: Gempa kuat melanda Haiti. Encik Obama mengerahkan segera bantuan kemanusiaan dan mengikrarkan bantuan awal berjumlah AS$100 juta.
Saturday, January 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment