Pages

Thursday, January 21, 2010

Denmark timbang larang pakai burqa

COPENHAGEN: Perdana Menteri Denmark, Encik Lars Loekke Rasmussen, berkata pemakaian burqa atau niqab oleh wanita Islam tidak ada tempat di negara itu.

Beliau menarik perhatian kerajaannya sedang menimbangkan untuk menyekat pemakaiannya.

Namun, Encik Rasmussen akur pemakaian burqa dan niqab tidak boleh diharamkan kerana wujud keterbatasan undang-undang dan isu-isu lain.

'Pendirian kerajaan adalah jelas. Burqa dan niqab tidak ada tempat dalam masyarakat Denmark. Ia mencerminkan kedudukan wanita dan kemanusiaan yang kami tentang sepenuhnya dan yang kami mahu atasi dalam masyarakat Denmark,' kata Encik Rasmussen kepada wartawan.

Denmark merupakan 'masyarakat yang terbuka dan demokratik dan kami lihat wajah seseorang apabila kami berbual, sama ada di bilik darjah atau semasa bekerja. Ini sebabnya kami tidak mahu melihat pakaian ini (burqa dan niqab) dalam masyarakat Denmark,' tambah beliau.

Menurut Encik Rasmussen, kerajaan sayap tengah-kanannya sedang 'membincangkan cara membataskan pemakaian' burqa dan niqab tanpa melanggar perlembagaan negara itu.

Kenyataan Encik Rasmussen itu dibuat selang sehari satu laporan menunjukkan pemakaian burqa 'amat jarang' kelihatan di Denmark, walaupun tiada angka rasmi diberikan.

Niqab pula dilaporkan dipakai oleh antara 100 dengan 200 wanita Islam.

Laporan itu dihasilkan atas arahan Kementerian Ehwal Sosial dan dikendalikan oleh para penyelidik dari Universiti Copenhagen.

Ia diterbitkan menyusuli perdebatan hangat mengenai pemakaian burqa yang telah memecah-belahkan kerajaan campuran dua parti Denmark sejak musim panas lalu.

Sekitar 100,000 wanita Islam menetap di Denmark dan membentuk sekitar 1.9 peratus daripada 5.5 juta jumlah keseluruhan penduduk.

Menurut laporan itu, sekitar 0.5 peratus wanita Islam memakai niqab.

Denmark mempunyai hubungan yang tegang dengan Dunia Islam menyusuli penerbitan karikatur Nabi Muhammad saw yang disifatkan menghina nabi dan juga agama Islam pada 2005.

Penerbitan karikatur itu telah mencetuskan bantahan ganas di beberapa negara Islam. -- AFP.




No comments:

Posting Terkini