Pages

Thursday, January 21, 2010

Masjid Al-Aqsa boleh runtuh akibat penggalian

BAITULMAKDIS: Masjid Al-Aqsa boleh roboh kerana mengalami banyak rekahan dan retakan berpunca daripada kegiatan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel menggali kawasan bawah tanahnya atas alasan mencari bukti peninggalan warisan Yahudi, menurut laporan, kelmarin.

Amaran itu dinyatakan oleh ketua hakim pihak Penguasa Palestin, Sheikh Tayseer Tamimi, kepada Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC).

Seorang aktivis Palestin, Encik Raed Salah, turut bimbang Israel merancang membina kuil Yahudi di kawasan Masjid Al-Aqsa.

Sheikh Tayseer pula memberi amaran, beberapa rumah di sekitar tanah suci ketiga Islam itu turut berisiko roboh kerana kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada malam hari membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan Masjid Al-Aqsa.

'Saya risau dengan pelan Israel membina kuil di kawasan Masjid Kubah Batu tahun ini yang saya percaya akan membawa kepada pembinaan kuil lebih besar daripada Al-Aqsa,' kata Encik Raed.

Sheikh Tayseer pula dipetik agensi berita Maan sebagai berkata:

'Pemerintah Israel mesti bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya yang turut membabitkan kawasan penganut Kristian.'

Beliau juga merujuk kepada meningkatnya kehadiran pelampau Yahudi selain pencerobohan tentera dekat Masjid Al-Aqsa, yang terbaru kemasukan 50 pelajar pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel melakukan penyelidikan termasuk pendatang Yahudi manakala wanitanya beribadat dekat masjid berkenaan, kata Sheikh Tayseer.

Oleh sebab itu, Sheikh Tayseer mendesak orang Arab dan Muslim di seluruh dunia memberi bantuan menyekat kegiatan menggali oleh Israel dekat tanah suci Islam berkenaan.

Beliau memberi pandangan itu selepas satu kawasan penduduk Silwan runtuh di timur Baitulmakdis, Isnin lalu, dan meninggalkan lubang sebesar 12 meter di tengah jalan Wadi Hilwah.

Encik Jawad Siyam, ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa, memberitahu agensi berita Maan bahawa runtuhan itu sedalam 10 meter dan terletak beberapa meter saja daripada satu lagi runtuhan, minggu lalu, atas sebab yang sama.

Dalam kejadian itu, sebuah trak kecil terperosok ke dalam lubang selepas runtuhan berlaku.

Seorang kanak-kanak turut cedera apabila terjatuh ke dalam lubang itu.

Pusat Baitulmakdis bagi Hak Sosial dan Ekonomi (JCSER) melaporkan runtuhan berkenaan pada Isnin lalu, mengulangi kejadian sama tahun lalu.

Tanah runtuh itu membabitkan sebuah sekolah perempuan dan 17 pelajar cedera.

JCSER menekankan, kegiatan Israel menggali menjadi sebab utama bangunan rosak termasuk di Masjid Al Ein. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini