Pages

Thursday, January 21, 2010

Sekilas - Dunia

Ada 200,000 tahanan politik di Korea Utara

SEOUL: Korea Utara mempunyai enam penjara yang menahan sekitar 200,000 tahanan politik yang sering didera dan dipukul, kata badan hak asasi kemanusiaan Korea Selatan, semalam.

Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Nasional berkata beberapa tahanan malah telah dibunuh tanpa dibicarakan.

Maklumat itu dikatakan diperolehi daripada 371 warga Korea Utara yang telah melarikan diri ke Korea Selatan, termasuk 17 orang yang pernah ditahan di penjara serupa itu. -- AFP.

AS akan gesa EU lulus pengimbas tubuh

MADRID: Amerika Syarikat akan menggesa Kesatuan Eropah (EU) meluluskan pemasangan pengimbas tubuh di lapangan terbang pada rundingan di Sepanyol berikutan cubaan mengebom pesawatnya bulan lalu.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika, Cik Janet Napolitano, dan Menteri Dalam Negeri EU, yang bermesyuarat di Toledo, akan membincangkan penggunaan pengimbas tubuh itu yang dilihat sebagai melanggar hak individu.

Britain dan Belanda sudah memasang pengimbas berkenaan tetapi beberapa negara seperti Jerman menangguhkan keputusan sehingga EU mengambil pendirian bersama. -- AFP.

16 pemohon suaka Sri Lanka ke Aust dan NZ

JAKARTA: Seramai 16 pemohon suaka politik dari Sri Lanka telah dihantar ke Australia dan New Zealand untuk memulakan kehidupan baru.

Mereka merupakan kumpulan terakhir daripada 78 pemohon suaka dari etnik Tamil yang sebelum ini ditempatkan di Tanjung Pinang.

Mereka diselamatkan oleh pegawai kastam Australia pada Oktober lalu apabila bot mereka rosak di perairan antarabangsa berdekatan Indonesia. -- AP.

Roy Marten mahu tulis kisah di penjara

JAKARTA: Pelakon veteran, Roy Marten, berkata kini sudah tiba masanya beliau berkongsi pengalamannya ketika meringkuk di penjara.

Roy, 57 tahun, dilaporkan sudah mula menulis buku mengenai pengalamannya sepanjang dipenjarakan dua kali atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Roy dipenjara sembilan bulan dan kemudian dua tahun pada 2008 dan 2009. -- Agensi.

Halang geran bagi janda yang mahu kahwin

KATHMANDU: Mahkamah Tinggi Nepal semalam menghalang tindakan pemerintah untuk memberi geran bernilai 50,000 rupee ($1,520) kepada golongan janda yang ingin berkahwin.

Kumpulan hak asasi wanita berkata langkah pemerintah itu hanya akan menggalakkan kaum lelaki berkahwin dengan golongan itu tetapi kemudian meninggalkan mereka setelah mendapatkan wang itu daripada mereka. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini