Pages

Sunday, December 20, 2009

Bijak belanja, elak susah diri sendiri

SURAT ini sekadar pesanan bagi kita menangani keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Sebaiknya, tanamlah sikap berjimat cermat walaupun keadaan ekonomi dunia dan negara kita semakin pulih.

Lazimnya kita kerap makan luar dan membeli barangan yang tidak perlu.

Pakaian yang baru dipakai selama dua atau tiga bulan sudah digantikan dengan yang baru.

Ada juga di kalangan kita yang "gatal" menukar kereta baru dan lebih besar, pergi melancong, mengadakan majlis perkahwinan yang gah, berbelanja besar dengan kad kredit, tukar perabot dan ubah elok rumah dengan membuat permohonan pinjaman daripada pihak bank.

Semua ini mengundang masalah hutang yang menimbun lagi memeningkan.

Pada awal tahun ini, kita dikejutkan dengan keadaan ekonomi suram sehingga banyak bank terjejas teruk dan terpaksa memberhentikan ramai pekerja.

Beberapa syarikat pembuat kereta di Amerika Syarikat, syarikat pelancongan dan penerbangan di serata dunia mengalami kerugian berbilion dolar.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia terpaksa mencari jalan menyelamatkan keadaan daripada bertambah buruk.

Apabila keadaan ekonomi tidak menentu, kita berasa bimbang akan status pekerjaan yang boleh menjejas periuk nasi kita. Gaji dibeku atau dipotong, masa kerja dipendekkan demi menjimatkan kos syarikat.

Dalam masa sukar sekarang, kita mesti bijak berbelanja. Wang gaji bulanan tidak boleh dihabiskan begitu sahaja.

Selain menjaga kesihatan kita, pelajaran anak-anak tidak harus diabaikan.

Kurangi penggunaan kad kredit, tangguhkan dulu niat membeli rumah atau kereta besar, lupakan seketika rancangan untuk melancong dan bersederhana dalam mengadakan majlis perkahwinan.

Kita tidak boleh bersikap buang air di tempayan apabila mendengar guruh di langit, kerana kekadang hujan yang dinanti tidak kunjung tiba.

Kita mesti melengkapi diri dengan ilmu perancangan kewangan dan bersikap proaktif dalam menambah pendapatan.

Ibu bapa pula mesti menerangkan duduk perkara kepada anakanak agar mereka tahu akan kesukaran masa sekarang. Anak mesti dilatih menabung dan berjimat berbelanja sejak kecil.

Selain itu, usah mudah tergoda dengan gimik niaga seperti pakai dulu bayar kemudian kerana ia boleh memerangkap kita dengan jumlah hutang lebih besar.

Jika kita sudah ada kemahiran merancang kewangan dengan betul, tidur kita pasti lebih lena.

Azmi Abdul Aziz

No comments:

Posting Terkini