Pages

Tuesday, November 17, 2009

Sebahagian besar jemaah Malaysia perlu bayar dam

MAKKAH: Sebahagian besar jemaah haji Malaysia yang menunaikan Haji Tamattuk dikehendaki membayar dam atau denda sebanyak 330 Saudi Riyal (RM300) seorang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abd Mubin, berkata Tabung Haji menawarkan perkhidmatan bayaran dam itu bagi memudahkan jemaah haji.

Jemaah haji yang mengerjakan haji Tamattuk diwajibkan membayar dam iaitu menyembelih seekor kambing setiap seorang.

"Justeru, bagi membantu jemaah haji yang menghadapi masalah untuk mencari kambing dan menyembelihnya atau sukar mencari orang yang dipercayai bagi melaksanakan dam, Tabung Haji sedia membantu dengan syarat jemaah mendepositkan sebanyak SR330 iaitu harga pasaran bagi sesekor kambing di kaunter kewangan yang disediakan di setiap Maktab Tabung Haji di Makkah," katanya kepada pasukan Media Tabung Haji di sini, hari ini.

Haji Tamattuk ialah apabila jemaah menunaikan umrah sebelum mengerjakan haji pada tahun hijrah yang sama sementara haji Qiran ialah apabila jemaah haji mengerjakan umrah dan haji secara serentak dan mereka juga dikenakan dam manakala haji Ifrad iaitu menunaikan ibadah haji dahulu dan kemudian mengerjakan umrah dan mereka tidak perlu membayar dam.

Mohd Salleh berkata, pembayaran dam boleh dilakukan secara tunai di semua kaunter kewangan Tabung Haji atau dengan memberi arahan memotong baki wang dari akaun simpanan Tabung Haji.

Bagaimanapun, katanya jemaah haji tidak wajibkan membayar dam itu kepada Tabung Haji sekiranya mereka hendak melaksanakannya sendiri.

Ditanya mengenai cara Tabung Haji melaksanakan dam, beliau berkata lazimnya pelaksanaan dam akan dijalankan setelah tamatnya musim haji.

"Setelah semua jemaah haji selamat kembali ke tanah air, kita akan arahkan pejabat Konsul Haji di Jeddah untuk memanggil sebut harga di kalangan syarikat pembekal haiwan ternakan di Arab Saudi bagi mendapatkan kambing pada harga mengikut harga pasaran.

"Setelah itu beberapa syarikat akan dilantik bagi melaksanakan dam dan ini akan mengambil masa antara satu hingga dua bulan bergantung kepada bekalan haiwan," katanya.

Pada tahun lalu, kira-kira 18,000 jemaah haji memberi kepercayaan kepada Tabung Haji melaksanakan dam bagi pihak mereka dan beliau menjangkakan jumlah sama bagi tahun ini.

"Saya berharap jemaah yang mewakilkan kepada Tabung Haji bagi melaksanakan dam dapat mengerjakan ibadah mereka dengan tenang dan insyaAllah pihak Tabung Haji akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya," katanya. - Bernama

No comments:

Posting Terkini