Pages

Wednesday, November 11, 2009

Korea Utara dan Selatan berbalas tembakan

SEOUL: Sebuah bot peronda Korea Utara terbakar selepas berbalas tembakan dengan tentera laut Korea Selatan di perairan yang dipertikaikan di Laut Kuning, kata para pegawai Korea Selatan semalam.

Kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain di atas insiden tersebut, yang pertama dalam tempoh tujuh tahun.

Presiden Korea Selatan, Encik Lee Myung-Bak, segera memanggil satu mesyuarat tergempar para menteri keselamatan.

Perdana Menteri, Encik Chung Un-Chan, menuduh Korea Utara sengaja menyerang sebuah bot peronda Korea Selatan.

'Tidak ada kerosakan di pihak kami, manakala bot peronda Korea Utara berundur dalam keadaan terbakar,' demikian Encik Chung memberitahu parlimen.

Tentera Korea Selatan berkata tiada korban jiwa di pihaknya, tetapi masih belum diketahui apakah terdapat korban jiwa di pihak Korea Utara.

Menteri Pertahanan Korea Selatan, Encik Kim Tae-Young, memberitahu parlimen bahawa bot peronda Korea Utara menceroboh lebih 1.6 kilometer ke selatan sempadan sekitar 10.33 pagi semalam.

Apabila kapal peronda Korea Selatan melepaskan tembakan amaran, bot peronda Korea Utara melepaskan tembakan ke arahnya, kata tentera Korea Selatan.

Mereka kemudian berbalas tembakan selama dua minit yang berakhir dengan kapal Korea Utara terbakar lalu berundur.

'Ini satu insiden yang dikesalkan,' kata Panglima Tentera Laut Korea Selatan, Brigedier-Jeneral Lee Ki-sik, kepada pemberita di Seoul.

'Kami membantah keras tindakan Korea Utara dan menggesanya agar mencegah insiden serupa itu daripada berulang,' tegas beliau.

Pyongyang semalam mendakwa kapal Korea Selatan yang melepaskan tembakan terlebih dahulu, dan menuntut Seoul meminta maaf di atas 'provokasi' tersebut.

Pertempuran semalam berlaku seminggu sebelum Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, melawat Korea Selatan, sebagai sebahagian lawatan beliau ke Asia.

Pentadbiran Obama juga bercadang menghantar duta khas ke Korea Utara, Encik Stephen Bosworth, ke Pyongyang dalam usaha hendak memujuk negara itu kembali ke meja rundingan, kata seorang pegawai Rumah Putih kelmarin.

Profesor Kim Yong-Hyun dari Universiti Dongguk, Seoul, memberitahu stesen televisyen YTN:

'Ini mungkin satu pertempuran yang disengajakan dan bertujuan meningkatkan ketegangan menjelang lawatan Encik Obama.' - AP, AFP, Bloomberg.

No comments:

Posting Terkini