Pages

Wednesday, November 25, 2009

Aktivis gesa SBY letak jawatan

JAKARTA: Para pembantah di Indonesia semalam membakar gambar-gambar Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan meminta beliau meletak jawatan atas apa yang dilihat mereka sebagai pembabitan beliau dalam siri skandal rasuah besar di negara itu.

Mereka mengecam Presiden Yudhoyono atau lebih popular dikenali dengan singkatan 'SBY', berhubung satu usaha kontroversi menyelamatkan Bank Century dan dakwaan adanya konspirasi di kalangan para pelaksana kanan undang-undang untuk menghalang usaha agensi pencegahan rasuah Indonesia.

'Presiden SBY dan Naib Presiden Boediono harus meletak jawatan daripada kedudukan mereka kerana mereka tidak lagi profesional dan disyaki terlibat dalam kes Bank Century,' kata seorang pembantah di Makassar, di mana para pelajar telah membakar gambar presiden Indonesia itu.

Para aktivis antirasuah Indonesia mengadakan protes terhadap apa yang mereka lihat sebagai usaha kurang kemas Presiden Yudhoyono untuk mengaburkan kebenaran berhubung skandal rasuah besar yang membabitkan ketua polis dan pihak pendakwaan.

Presiden Yudhoyono memeranjatkan mereka lewat kelmarin apabila beliau memberi jawapan merewang dan kurang meyakinkan untuk menasihati pasukan pencarian faktanya menghukum para pelaksana undang-undang kanannya dan memperbaharui sistem kehakiman.

Beliau kini di bawah tekanan untuk memecat ketua polis dan peguam negaranya serta mengarahkan mereka membatalkan kes-kes yang didakwa palsu terhadap dua penyiasat kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK).

Dalam ucapan televisyennya yang disiarkan ke seluruh Indonesia, Presiden Yudhoyono berikrar lagi untuk melaksanakan pembaharuan ke atas sistem kehakiman tetapi berkata bahawa beliau tidak boleh campur tangan dalam kes-kes jenayah.

Pasukan pencarian fakta presiden Indonesia itu telah mengusulkan tindakan disiplin ke atas para pelaksana undang-undang yang dikaitkan dalam konspirasi itu dan menarik balik semua dakwaan jenayah terhadap dua timbalan KPK itu.

Beberapa bantahan kecil juga diadakan di beberapa daerah Jakarta dan berhampiran Bogor. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini