KUALA LUMPUR: Akibat gagal melunaskan pinjaman sebanyak RM1,000 ($412) kepada 'ah long', atau khidmat ceti haram, seorang mekanik berdepan kemungkinan menanggung malu apabila sindiket itu mengugut akan memaparkan maklumat peribadi dan jumlah hutang yang perlu dibayarnya dalam laman sosial Facebook.
Malah, 'ah long' tersebut turut mengugut akan menyebarkan gambar serta rakaman video mangsa yang diambil ketika meminjam wang daripada mereka dalam laman sosial itu.
Demikian nasib yang menimpa seorang lelaki berusia 25 tahun, yang diugut supaya membayar RM80,000 setelah meminjam wang sebanyak RM1,000 daripada 'ah long' pada September lalu.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai 'Chong' dan bekerja di sebuah kedai aksesori kereta itu terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kajang, pada Jumaat lalu, akibat tidak tahan diugut sindiket pinjaman wang haram itu.
Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Michael Chong, kelmarin berkata taktik terbaru itu dikesan bagi memalukan mangsa dengan menyiarkan gambar serta profil peribadi mereka yang gagal membayar pinjaman.
'Jika sebelum ini 'ah long' menggunakan cat dan poster mengugut peminjam kini mereka menggunakan taktik terbaru untuk memalukan mangsa dengan mengugut akan menyiarkan maklumat peminjam dalam laman sosial itu,' katanya.
Sementara itu, mangsa ketika ditemui pada sidang akhbar itu memberitahu, dia meminjam wang sebanyak RM1,000 untuk menyelesaikan masalah perniagaan yang dihadapinya dan cuba membayar semula secara ansuran.
Namun, berlaku kelewatan semasa proses pembayaran balik itu menyebabkan hutangnya bertambah menjadi RM80,000 termasuk faedah.
'Berikutan kelewatan itu, saya didatangi 10 orang 'ah long' memaksa saya membayar semula pinjaman baru-baru ini,' kata Chong.
Selain diugut, tambahnya, dia turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada 'ah long' terbabit yang memaklumkan mereka akan menyiarkan identiti serta jumlah hutangnya dalam laman Facebook.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment