MAKKAH: Seramai 20 jemaah haji Malaysia meninggal dunia pada musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, hari ini.
Beliau berkata jemaah yang meninggal dunia itu disebabkan oleh sakit biasa seperti sakit tua dan bukan dijangkiti penyakit berjangkit seperti Influenza A (H1N1).
“Mereka yang meninggal dunia itu ialah 16 lelaki dan empat perempuan yang berusia 50 tahun ke atas.
“Jumlah ini sangat minimum jika dibandingkan dengan keseluruhan jemaah haji Malaysia yang berjumlah 26,000 orang.
"Jemaah haji Malaysia tiba di Tanah Suci sejak 20 Oktober lalu,” katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini.
Selain itu, Jamil Khir juga berkata empat jemaah haji Malaysia yang sedang menerima rawatan di hospital Arab tidak dapat dibawa ke Arafah pada Khamis kerana berada dalam tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, katanya lebih 20 pesakit yang dirawat di hospital Tabung Haji di Aziziah dan Sisya dibawa ke Arafah oleh petugas perubatan Tabung Haji dengan ambulans.
Mengenai perkembangan jemaah haji Malaysia, beliau berkata mereka masih berada di Mina dan kebanyakannya telahpun selesai menjalankan ibadah melontar Jamrah dan mereka akan kembali semula ke Mekah untuk mengerjakan tawaf dan sae haji sehari dua lagi.
Jamil Khir berkata bagi jemaah haji yang belum berkesempatan untuk pergi ke Madinah, Tabung Haji akan menguruskan pemergian mereka ke sana setelah semua ibadah haji selesai dilakukan. Secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan operasi musim haji tahun ini yang berjalan lancar. - Bernama
Sunday, November 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment