SUBANG: Usaha membawa pulang penuntut Malaysia yang terkandas di Padang, Indonesia akibat gempa bumi dua hari lepas selesai pagi ini apabila 323 penuntut tersebut selamat kembali ke tanah air dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kumpulan pertama 182 penuntut tiba di pangkalan TUDM Subang pada pukul 5.05 pagi manakala kumpulan terakhir seramai 23 penuntut tiba pada 8.30 pagi ini.
Mereka dibawa pulang dengan empat pesawat pengangkut TUDM jenis Hercules yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau tengah malam tadi.
Turut dibawa pulang ialah beberapa rakyat Malaysia yang terkandas semasa berada di sana untuk urusan perniagaan dan peribadi.
Kepulangan pelajar-pelajar tersebut, termasuk seorang pelajar wanita yang cedera, disambut oleh keluarga masing-masing serta Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Radin Umar. Pelajar berkenaan yang hanya dikenali sebagai Fernisha, pelajar perubatan tahun dua Universitas Andalas yang cedera tulang belakang akibat dihempap runtuhan batu, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua pelajar Malaysia di universiti tersebut yang hanya dikenali sebagai Martaza hanya cedera ringan dan tidak memerlukan rawatan hospital.
Ketika dibawa pulang, kumpulan pelajar tersebut kelihatan masih berada dalam keadaan trauma bercampur lega kerana menjejakkan kaki di tanah air selepas mengalami detik cemas gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu, yang setakat ini mengorbankan 770 orang.
Sejak awal semalam, kerajaan telah mengarahkan TUDM bersiap sedia untuk operasi membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas di sana kerana gempa bumi tersebut telah mengakibatkan bencana buruk terhadap nyawa dan harta benda.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa melibatkan rakyat Malaysia. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment