Pages

Friday, September 4, 2009

Rumah PPRT retak

KUALA SELANGOR - “Dinding rumah ini tunggu masa sahaja untuk roboh memandangkan retakan di bahhagian dindingnya sudah semakin banyak," demikian rungut pemilik rumah pembangunan perumahan rakyat termiskin (PPRT), Mohd Yunus Yusof, 62 yang berasa tidak selamat untuk tinggal di rumahnya bersama isteri dan anak-anak.

Rumah bantuan penuh kerajaan yang didudukinya sekeluarga sejak tujuh tahun lalu itu kini semakin menjadi tidak selamat diduduki berikutan dindingnya yang sudah retak dan boleh membahaykan penghuninya.

Menurutnya, keretakan dinding rumahnya adalah pada tahap serius kerana dinding berkenaan sudah mula bergoyang sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, isterinya, Halimah Idris, 50, berkata, keretakan dinding di rumahnya pada tahap serius kesan daripada pembinaan jalan tidak berturap di hadapan rumahnya.

“Jika dibuka pintu rumah ini, pasti dinding yang retak ini akan jatuh dan kemungkinan besar rumah ini akan roboh.

“Kami anak-beranak sentiasa berasa takut melihat keretakan yang serius ini kerana khuatir dengan keselamatan kami sekiranya rumah ini runtuh,” katanya.

Menurutnya lagi, masalah ini telah diadukan kepada Ketua Kampung Kuantan namun tidak mendapat sebarang jawapan sehingga kini.

“Memandangkan saya tidak bekerja dan isteri hanya mengambil upah menjahit atap rumbia, kami tidak mampu membaiki rumah yang diduduki ini.

“Saya berharap pihak yang berwajib dapat membaiki rumah ini kerana kami sekeluarga berasa bimbang akan keselamatan kami sekeluarga,” katanya lagi.

No comments:

Posting Terkini