KUALA LUMPUR, 26 Sept-- Pusat rehat dan rekreasi (R&R) bagi warga emas dan anak yatim yang pertama di Malaysia akan dibuka dengan rasminya di Ampang, di sini menjelang awal tahun depan.
Dengan hanya dua peratus lagi kerja-kerja yang perlu disiapkan, struktur berharga RM7 juta dengan reka bentuk unik itu merupakan cetusan ilham Lin Chua Yap Swee Lin, pengasas dan pengerusi Yayasan Aged Unite To Organise Rest and Recreation (AUTORR).
Menurut Lin yang juga cucu perempuan kepada dermawan terkenal, Yap Kwan Seng, sejumlah RM500,000 masih diperlukan untuk menyiapkan kerja-kerja penyediaan pusat itu.
"Kami harap pusat ini boleh dibuka menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan, kerana ini merupakan 'impian menjadi kenyataan' bagi ramai warga emas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada ceramah "Enrich and Safeguard Your Wealth During Economic Downturn (Tambah dan Pelihara Kekayaan Anda Semasa Kelembapan Ekonomi)", yang diadakan sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul dana bagi yayasan itu, di sini pada Sabtu.
Pusat itu bakal menjadi tempat bagi warga emas untuk menjalin persahabatan dan pada masa yang sama, membantu memberikan dorongan dan galakan kepada anak-anak yatim.
"Pusat ini bukanlah rumah kebajikan bagi warga emas. Ia bertindak sebagai pusat pendidikan, pusat meditasi dan pusat kegiatan.
"Selain itu, sesi bengkel, sudut minuman untuk beramah mesra, bengkel kesihatan dan pemakanan yang betul, juga akan diadakan," jelasnya.
Katanya pusat itu akan memberikan pengertian baru bagi warga emas dalam menikmati kehidupan mereka.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment