NEW YORK: Seorang lelaki keturunan Afghanistan yang bekerja sebagai pemandu di lapangan terbang, kelmarin didakwa dengan pertuduhan merancang melancarkan serangan bom di Amerika Syarikat.
Najibullah Zazi, 24 tahun, berasal dari Denver, didakwa di New York dengan pertuduhan berkomplot hendak melancarkan serangan menggunakan bom buatan sendiri.
Pihak berkuasa federal berkata Zazi dan tiga lelaki lain telah membeli sejumlah besar bahan kimia untuk membuat bom.
Menurut mereka, Zazi bertungkus lumus selama lebih setahun melakar komplot untuk meletupkan bom berkenaan.
Dalam dokumen pertuduhan, Zazi dikatakan menerima panduan membuat bom di Peshawar, Pakistan, membuat kajian membuat bom buatan sendiri di Colorado dan pergi ke New York dengan niat hendak meletupkan bom.
Zazi menafikan dia terlibat dalam sebarang komplot pengganasan. Tetapi Biro Siasatan Federa (FBI) mengatakan dia mengaku semasa disoal siasat bahawa dia pernah menjalani latihan menggunakan senjata api dan membuat bom di kem Al-Qaeda di barat laut Pakistan.
Zazi, yang bakal dipindahkan dari Denver ke New York, kini ditahan dan menghadapi hukuman penjara jika didapati bersalah.
Peguam Negara, Encik Eric H. Holder, berkata kes itu belum ditutup meskipun Zazi sudah ditangkap. Ini kerana dia dipercayai bekerjasama dengan beberapa pesubahat yang tidak dikenali.
'Kami akan bekerja keras untuk memastikan mereka yang terlibat diseret ke muka pengadilan,' kata Encik Holder
'Kami berpendapat ancaman terdekat daripada kes ini sudah dihapuskan tetapi kami mengingatkan orang ramai agar tetap berwaspada,' tegas beliau.
Sementara itu, pihak berkuasa di Illinois dan Texas mengumumkan mereka telah membuat beberapa tangkapan menyusuli siasatan berasingan melibatkan militan yang merancang meletupkan bangunan dengan menggunakan bom kereta.
Seorang lelaki berusia 29 tahun dari Illinois, Michael Finton, yang dikenali sebagai Talib Islam, ditahan selepas memandu sebuah kenderaan sarat dengan bahan letupan menuju sebuah bangunan federal dan mahkamah di Springfield, Illinois, dan cuba meletupkannya.
Sementara itu di Dallas, seorang lelaki rakyat Jordan, Hosam Maher Husein Smadi, 19 tahun, ditahan atas tuduhan cuba mengebom sebuah bangunan pencakar langit setinggi 60 tingkat di pusat bandar berkenaan. -- AP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment