BANTAHAN ANTIKAPITALISME: Pegawai polis menyuraikan penunjuk perasaan dalam satu bantahan terhadap sidang puncak Kumpulan G-20 di Pittsburgh, Pennsylvania, kelmarin. -- Foto REUTERS
PITTSBURGH (Pennsylvania): Para penunjuk perasaan kelmarin memecah tingkap kedai dan membaling batu ke arah polis dalam bantahan terhadap kapitalisme di sidang puncak negara G-20 di Pittsburgh.
Pertempuran selama empat jam berlaku apabila sekitar 2,000 penunjuk perasaan yang memakai ikat kepala, gogal dan membawa pelekat mengutuk kapitalisme, berhimpun untuk berarak.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan cotar untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
'Kami melihat polis menggunakan peluru getah, cotar dan gas pemedih mata,' kata Encik Noah Williams, seorang jurucakap kumpulan anti-kapitalis Projek Bantahan Pittsburgh G-20 (PGRP).
Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan polis di kejiranan Lawrenceville.
Mereka membaling botol dan batu ke arah polis, yang kemudian membalas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata.
Bagaimanapun menjelang senja di Bloomfield, kejiranan Little Italy bagi Pittsburgh, hanya sekitar 300 penunjuk perasaan masih tinggal.
Menjelang lewat malam, para pegawai berkata 15 orang telah diberkas - seorang daripada mereka kerana menghasut rusuhan, lima kerana melakukan serangan dan 10 lagi kerana enggan bersurai.
Penunjuk perasaan memecah tingkap di Boston Market dan restoran makanan segera KFC, sebuah kedai kereta BMW dan Fidelity Bank di kawasan itu, kira-kira 1.6 kilometer dari pusat konvensyen tempat sidang G-20 sedang berlangsung.
Polis yang memakai perisai plastik melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah, sambil bertindak menyuraikan penunjuk perasaan dan memberkas mereka yang degil.
Menjelang tengah malam hanya segelintir penunjuk perasaan yang masih tinggal di pusat bandar.
Mereka merancang sejumlah tindakan seterusnya di beberapa lokasi termasuk Starbucks, Gap, McDonald's dan bank setempat, semalam.
Jurucakap Perkhidmatan Sulit Amerika Syarikat, Encik Darrin Blackford, mengesahkan polis menggunakan gas pemedih mata tetapi menafikan mereka menggunakan peluru getah ke atas orang ramai. -- Reuters.
Saturday, September 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment