KUALA LUMPUR, 26 Sept- Pemain skuasy wanita nombor satu dunia Nicol David meneruskan kemaraan ke perlawanan separuh akhir kejohanan Terbuka Dunia (WWO) yang berlangsung di Amsterdam pada Jumaat.
Pemain unggul Malaysia itu mengalahkan pilihan kelima Jenny Duncalf dari England 11-6, 11-13, 11-6, 11-7 dalam masa 57 minit pada kejohanan yang diadakan di gelanggang kaca Frans Otten Stadion.
Nicol, 25, kini memburu gelaran keempat dunia dan akan bertemu Alison Waters dari England, yang pertama kali berjaya ke perlawanan separuh akhir pada Sabtu.
"Ini merupakan permainan terbaik beliau (Duncalf), walaupun kami sering berhadapan dengan perlawanan yang hebat. Saya menjangkakan satu perlawanan sengit dan saya tahu saya melakukan yang terbaik untuk menewaskannya dan terus mengenepikannya setiap masa.
"Saya tidak boleh membiarkannya sahaja dan apabila beliau membuat kesilapan, saya tahu saya perlu memberikan tekanan bagi memastikan saya terus berada di hadapan," kata Nicol, dipetik sebagai berkata di lama web rasmi kejohanan www.womensworldopen.com.
Terdahulu, Waters menyekat naib juara Terbuka British Madeline Perry dari Ireland 11-5, 11-8, 11-13, 11-2 dalam tempoh 50 minit untuk menempah tiket ke perlawanan separuh akhir.
Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir pada Sabtu akan menyaksikan pertembungan dua beradik Grinham, Rachael dan Natalie.
Pilihan ketiga kejohanan Rachael dari Australia, yang menjuarai kejohanan Terbuka British minggu lepas, menewaskan Omneya Abdel Kawy dari Mesir dalam lima set permainan 6-11, 7-11, 11-1, 11-6 dan 11-8 yang mengambil masa 52 minit.
Pilihan kedua Natalie, pula yang kini bermain untuk Belanda, mengambil masa 30 minit untuk menewaskan pilihan kelapan Laura Massaro dari England dalam perlawanan terus 11-6, 11-4 dan 11-6.
-- BERNAMA
Saturday, September 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment