Pages

Saturday, September 26, 2009

Tindakan disiplin terhadap Hasan Ali

PETALING JAYA: PAS Pusat dipercayai sedang mempertimbangkan 'tindakan lebih keras' kali ini terhadap Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali ekoran pendirian terbuka beliau mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) - negeri diterajui Pakatan Rakyat.

Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja PAS, dijadual untuk diadakan 11 Oktober ini tetapi kemungkinan dipercepatkan ekoran pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun beberapa pemimpin yang dihubungi tidak dapat mengesahkan bentuk tindakan disiplin yang kemungkinan diambil.

Difahamkan walaupun beberapa pemimpin dalam PAS mempersoalkan tindakan Hasan, Pesuruhjaya PAS Selangor itu terus menerima sokongan padu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa.

"Saya percaya Jawatankuasa Kerja akan meminta penjelasan daripada Datuk Hasan dalam isu ini. Kami akan mendapatkan penjelasan mengapa beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Ketika ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil ke atas Hasan, Mahfuz berkata:

"Itu saya tidak tahu, tidak boleh pastikan... ia kena tanya pada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang diketuai oleh Tuan Ibrahim (Tuan Man) (seorang lagi Naib Presiden PAS)."

Ahad lalu, Hasan mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah Selangor sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Hasan menambah, beliau sangat bersimpati dengan pegawai-pegawai berkenaan yang seolah-olah "dilayan sebagai budak sekolah."

Oleh itu beliau turut berhadapan dengan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dari PAS sendiri.

No comments:

Posting Terkini