BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata beliau tidak akan menggugurkan tuntutan pemimpin Palestin mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi dalam rundingan damai yang hendak dihidupkan semula oleh Amerika Syarikat.
'Saya beritahu Abu Mazen (gelaran Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas) bahawa saya berpendapat perdamaian bergantung kepada kesediaan beliau memberitahu rakyat Palestin bahawa beliau sanggup mengiktiraf Israel sebagai negara bangsa Yahudi,' kata Encik Netanyahu dalam wawancara yang disiarkan Radio Israel semalam.
'Saya tidak akan menggugurkan perkara ini dan isu penting lain dalam sebarang perjanjian damai muktamad,' kata Encik Netanyahu.
Presiden Amerika, Encik Barack Obama, Selasa lalu mempertemukan buat pertama kali kedua-dua pemimpin Israel dan Palestin itu dan menggesa mereka supaya menghidupkan semula rundingan damai secepat mungkin.
Encik Netanyahu mengalu-alukan gesaan Encik Obama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar Israel dan Palestin menyambung rundingan damai tanpa syarat.
Pemimpin Palestin enggan mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi, dan berkata tidak akan ada rundingan kecuali Israel menghentikan pembinaan petempatan Yahudi di Tebing Barat.
Encik Netanyahu menolak tuntutan itu dan menawarkan pembekuan pembinaan selama sembilan bulan.
Israel, katanya, akan meneruskan rancangan hendak membina ribuan apartmen dan tidak akan menghentikan pembinaan petempatan di Baitulmakdis Timur yang ditawan pada Perang 1967 dan kemudian dirampas.
Masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf perampasan Baitulmakdis dan tidak menerima pembinaan petempatan di Tebing Barat.
Encik Obama dalam ucapannya di PBB menegaskan 'Amerika tidak menerima kesahihan petempatan Yahudi yang berterusan'.
Para pegawai kanan Palestin menyambut baik ucapan Encik Obama di PBB Rabu lalu apabila beliau berkata Washington mahukan sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.
Presiden Palestin, Encik Abbas, menegaskan rundingan dengan Israel tidak akan dimulakan kecuali matlamat yang jelas ialah sempadan 1967.
Itu ditolak Encik Netanyahu yang berkata: 'Pemerintah (Israel) terdahulu tidak mahu kembali ke sempadan 1967. Pemerintah saya sudah pasti tidak akan melakukannya.' - AP, AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment