KUALA LUMPUR: Cik Maizawati Zainal, bekas isteri penceramah terkenal, Encik Akhil Hayy, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar tabloid kerana menerbitkan cerita berbaur fitnah mengenainya.
Cik Maizawati berkata, artikel yang seolah-olah menggambarkan dirinya mengejar lelaki berharta menyebabkan dirinya menjadi buah mulut masyarakat selain mencetuskan tanggapan beliau mata duitan.
'Jika benar saya mahukan lelaki kaya, saya tidak perlu bersusah payah mengusahakan perniagaan untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak,' katanya ketika dihubungi.
'Akibat artikel berkenaan, saya mendapat banyak panggilan telefon dan SMS daripada keluarga dan rakan yang mula tidak senang dan menyangka saya sudah berubah,' katanya.
Menurutnya, memang benar wartawan akhbar terbabit menghubunginya sebelum Aidilfitri dengan alasan hendak menulis berita mengenai persiapannya menjelang Raya.
'Memang dia ada bertanya mengenai ciri-ciri lelaki yang diidamkan sekiranya ingin berkahwin lagi.
'Saya cuma nyatakan mahu lelaki yang kaya budi bahasa dan tidak menyebut langsung mengenai duit atau harta benda seperti yang ditulis dalam artikel berkenaan,' katanya.
Cik Maizawati berkata, selepas artikel diterbitkan, beliau cuba menghubungi wartawan berkenaan untuk meminta penjelasan namun gagal.
'Sudah banyak kali saya cuba hubungi dan menghantar SMS kepada wartawan itu, namun tidak berbalas. Saya kecewa kerana kerjasama yang saya berikan kepadanya dibalas dengan tulisan seperti itu.
'Saya beri peluang kepadanya untuk memohon maaf dan mengakui kesilapan atau saya tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadap wartawan dan akhbar berkenaan,' katanya.
Cik Maizawati menambah:
'Sebelum ini wartawan sama pernah menghasilkan artikel menyatakan bahawa saya meninggalkan suami pertama kerana mengejar Akhil Hayy.
'Artikel berkenaan benar-benar mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya sekeluarga.
'Saya masih beri peluang dan bekerjasama dengan wartawan sama kerana kasihan melihat dia menghubungi saya lewat malam untuk dapat maklumat. Namun, saya tidak menyangka dia menjatuhkan maruah saya sekali lagi,' katanya.
Menurutnya, beliau dan peguamnya akan menyiapkan surat amaran untuk diserahkan kepada pihak pengurusan akhbar berkenaan dalam masa terdekat ini. -- Harian Metro.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment