Pages

Friday, September 25, 2009

Didakwa jadikan adik ipar hamba seks

GEMAS: Polis sedang memburu seorang kontraktor yang mempunyai tiga isteri kerana dipercayai menjadikan adik iparnya berusia 13 tahun sebagai hamba seks sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 53 tahun itu didakwa menawarkan pelbagai hadiah termasuk barangan berjenama dan wang bagi memujuk mangsa mengadakan hubungan seks setiap kali adik isteri ketiganya itu datang ke rumahnya pada cuti persekolahan.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat pengakuan selepas didesak seorang lagi kakaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Gemas di sini pada Hari Raya kedua, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Zull Aznam Haron, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa tetapi enggan mengulas kerana siasatan masih dijalankan.

Difahamkan, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Jempol itu kali pertama dirogol abang iparnya pada Jun 2006 ketika mangsa berusia 10 tahun.

Perbuatan itu tidak disedari isteri ketiga lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 20-an.

Mangsa dikatakan diberi pelbagai hadiah, termasuk barangan berjenama dan wang bagi merahsiakan perbuatan itu.

Perbuatan lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas seorang lagi kakak mangsa, yang juga seorang guru, mengesyaki sesuatu apabila mendapati adiknya memiliki barangan mewah, termasuk telefon bimbit ketika pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Selepas didesak, mangsa akhirnya menceritakan perkara sebenar dan membuat laporan polis.

Kakak mangsa turut membawa pelajar itu ke Hospital Tampin untuk pemeriksaan perubatan. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini