BANGKOK: Lelaki warga Amerika yang dihukum penjara kerana menceroboh rumah pemimpin pembangkang Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, semalam terbang meninggalkan negara itu bersama senator Amerika yang mendapatkan pembebasannya.
Encik John Yettaw, 54 tahun, berasal dari Falcon, Missouri, semalam menaiki pesawat tentera menuju ke Bangkok, ibu kota Thailand, bersama Senator Jim Webb dari Virginia, yang kelmarin berjaya mendapatkan pembebasan beliau daripada ketua junta Myanmar, Jeneral Than Shwe.
Awal dari itu, John Yettaw diserahkan kepada pegawai kedutaan Amerika di Penjara Insein di Yangon, selepas Senator Jim Webb mengadakan rundingan bersejarah dengan Jeneral Than Shwe.
Ketua junta itu bagaimanapun tidak mengendahkan gesaan Senator Webb agar dibebaskan pemimpin pembangkang Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, yang minggu lepas dikenakan hukuman 18 bulan lagi tahanan di rumah berhubung insiden pencerobohan Encik Yettaw pada Mei lalu.
Senator Webb dibenarkan junta tentera untuk menemui Cik Suu Kyi selama 45 minit di rumah penginapannya di Yangon, selepas bertemu anggota Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dan parti politik lain yang diundang ke Naypyidaw oleh pemerintah Myanmar.
'Saya mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Myanmar,' kata Senator Webb kepada para pemberita di lapangan terbang Yangon, sejurus sebelum pesawat tentera yang membawa beliau dan Encik Yettaw berlepas ke Bangkok.
'Saya tidak akan memohon maaf di atas tindakan yang beliau lakukan. Tetapi saya yakin langkah pemerintah anda membenarkan beliau pulang ke negaranya dan ke pangkuan keluarganya adalah satu tanda muhibah dari pemerintah anda kepada negara saya,' tambah beliau.
Encik Yettaw tidak menghadiri sidang akhbar itu.
Seorang pegawai polis memberitahu Reuters bahawa Encik Yettaw dibawa dari penjara ke lapangan terbang, untuk beliau menyertai anggota rombongan yang lain.
Pesawat mereka meninggalkan Yangon menuju ke Bangkok sekitar 1.30 petang semalam waktu setempat, dan mendarat di sebuah pangkalan tentera di Bangkok sekitar 3.45 petang, kata seorang jurugambar AFP. -- AP, AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment