SEOUL: Korea Utara semalam memberi amaran akan 'bertindak balas tanpa belas' terhadap sebarang ancaman serangan nuklear oleh Amerika Syarikat dan Korea Selatan, lapor media pemerintah.
'Jika imperialis Amerika dan (Presiden Korea Selatan, Encik) Lee Myung-Bak mengancam Korea Utara dengan senjata nuklear, kami akan bertindak balas dengan senjata nuklear,' kata satu kenyataan tentera Korea Utara, seperti ditukil Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Jika mereka mengancam Korea Utara dengan peluru berpandu, kami akan bertindak balas dengan peluru berpandu,' tegasnya lagi.
'Jika mereka ketatkan sekatan dan meningkatkan konfrontasi ke tahap melampau, kami akan bertindak balas tanpa belas dalam peperangan menegakkan keadilan,' tambahnya lagi.
Amaran itu dibuat menjelang latihan ketenteraan, termasuk simulasi komputer oleh Seoul dan Washington dijadual bermula hari ini.
Amerika dan Korea Selatan berkata latihan itu semata-mata bertujuan untuk mempertahan diri.
Namun Pyongyang menganggapnya sebagai persiapan bagi satu serangan ke atas Korea Utara.
Seorang jurucakap tentera Korea Utara mengutuk latihan tentera bersama itu yang bermula hari ini.
Sabtu lalu, Presiden Lee mengulangi tawaran bantuan kepada Korea Utara dan menggesa diadakan 'dialog' dengan Pyongyang bagi melupuskan program senjata nuklear supaya negara komunis itu boleh mencapai kemakmuran.
Namun masih belum jelas sama ada tawaran bantuan oleh Seoul akan mendorong Pyongyang tidak menghidupkan semula program nuklearnya.
Encik Lee pernah membuat tawaran yang sama pada masa yang lalu tetapi ditolak oleh Korea Utara.
Beliau turut menawarkan rundingan bagi mengurangkan senjata konvensional dan askar di sepanjang 4 kilometer sempadan mereka dekat zon gencatan senjata.
'Senjata nuklear tidak menjamin keselamatan Korea Utara. Ia hanya memendungkan masa depannya,' kata Encik Lee dalam satu ucapan sempena pembebasan Korea daripada pendudukan Jepun pada 1945.
'Korea Utara dan Korea Selatan mesti duduk berbincang mengenai pelupusan senjata nuklear di Semenanjung Korea selain pengurangan senjata konvensional,' tegas beliau. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment