Pages

Monday, August 31, 2009

Parti Demokratik Jepun sedia ambil alih kuasa

TOKYO: Parti Demokratik Jepun (DPJ) kini bersedia menguasai tampuk pimpinan politik Jepun selepas undian awal menunjukkan ia mendahului pesaingnya dalam pilihan raya negara itu semalam.

Ini sekali gus mengakhiri tempoh setengah abad pemerintahan satu parti dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu, menurut beberapa laporan media.

DPJ dijangka menguasai lebih 300 daripada 480 kerusi Dewan Rendah Parlimen Jepun, kata stesen televisyen NHK dan Fuji Television yang memetik pengiraan undian awal.

Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Perdana Menteri Jepun, Encik Taro Aso, akan memenangi kira- kira 100 kerusi, kata NHK.

Pemimpin DPJ, Enci Yukio Hatoyama, 62 tahun, dijangka menjadi Perdana Menteri Jepun yang baru.

Kemenangan parti beliau itu diraih sedang Jepun mulai keluar daripada kemelesetan ekonomi paling teruk yang pernah dialaminya sejak Perang Dunia Kedua.

Pentadbiran baru Jepun harus menangani kadar pengangguran, kenaikan kos khidmat kebajikan dan masalah jumlah penduduk yang semakin berkurang dan meningkat tua.

DPJ berikrar menambah perbelanjaan ke atas penjagaan kanak-kanak, mengurangkan kadar cukai korporat dan membataskan kuasa birokrat Jepun bagi memulihkan genangan ekonominya sejak hampir 20 tahun lalu.

'Kami sudah pasti mengambil alih kuasa. Terima kasih kepada sokongan daripada ramai orang,' kata Timbalan Setiausaha Agung DPJ, Encik Yoshiko Noda, kepada NHK.

'Kami mempunyai semangat bertanggungjawab dan akan melaksanakan manifesto kami.'

Menteri Pertanian Jepun, Encik Shigeru Ishiba, dipetik NHK sebagai berkata bahawa 'satu perubahan dalam pemerintah sudah pasti'.

Sesetengah ahli parlimen LDP sedang menghadapi cabaran serius mengekalkan kerusi masing-masing.

Bekas Perdana Menteri Jepun, Encik Toshiki Kaifu, diramal kehilangan kawasan undinya, kata NHK.

Menteri Kewangan Jepun, Encik Kaoru Yosano, berkata bulan ini bahawa beliau menghadapi persaingan paling sukar dalam pilihan raya dalam kerjayanya.

Penyokong lama LDP, Encik Shoji Tamura, 69 tahun, kali ini mengundi DPJ 'untuk menghukum' ahli politik yang, menurutnya, membawa negara itu ke ambang bencana ekonomi. -- Bloomberg.

No comments:

Posting Terkini