Pages

Monday, November 2, 2009

Beijing diselimuti salji buatan

BEIJING: Pakar-pakar kaji cuaca di China telah menutup kawasan Beijing dengan salji semalam, selepas melakukan penyemaian awan untuk menghasilkan musim salji lebih awal ke ibu kota China itu.

Ia sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk mengatasi ancaman kemarau, kata laporan media rasmi pemerintah negara itu.


Salji yang turun lebih awal itu menutupi Beijing sejak pagi semalam.

Ia turun hampir setengah hari semalam, dibantu oleh kejatuhan suhu di bandar itu ke paras dua darjah Celsius di bawah sifar dan tiupan angin kencang dari arah utara, kata laporan agensi berita Xinhua News.

Selain salji yang jatuh di wilayah timur laut Liaoning dan Jilin dan wilayah utara Hebei, bandar pelabuhan di timur China, Tianjin, juga mengalami salji pertama di musim gugur ini, kata laporan itu lagi.

'Kami tidak akan melepaskan sebarang peluang mengadakan penyemaian itu kerana Beijing sedang mengalami kemarau,' kata ketua Pejabat Pengubahsuaian Cuaca Beijing, Encik Zhang Qiang, yang dipetik dalam laporan tersebut.

Ahli-ahli kaji cuaca China sejak beberapa tahun lalu telah menghasilkan hujan dengan 'menyuntik' kimia khas pada awan.

Walaupun teknik itu sering membawa hasil, kemarau terus berlaku di kawasan utara negara itu sejak sedekad lalu.

Selain salji, yang menurut laporan saluran berita televisyen Beijing Evening News adalah yang paling awal terjadi di ibu kota itu dalam masa 10 tahun, cuaca sejuk dan angin kencang telah menangguhkan penerbangan dari Lapangan Terbang Ibu Kota Beijing dan menjejas perkhidmatan kapal penumpang di kawasan pantai Shangdong, di timur China, kata Xinhua News. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini