Pages

Thursday, August 20, 2009

Ayah mahu anak disebat di depan khalayak ramai

IPOH: Bapa model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 tahun, yang didapati bersalah atas tuduhan meminum arak bulan lalu, mahu hukuman ke atas anaknya itu dijalankan di tempat terbuka supaya dapat memberi pengajaran kepada orang lain, demikian lapor akhbar Harian Metro semalam.

'Saya agak terkejut dan terkilan apabila dimaklumkan bahawa anak saya, Kartika Sari Dewi, akan menjalani hukuman sebat di Penjara Wanita Kajang, yang tertutup.

'Seboleh-bolehnya saya mahu hukuman dijalankan di tempat terbuka agar dapat memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengambil iktibar daripada hukuman itu.

'Jika hukuman itu dijalankan dalam penjara, mungkin mesej berkenaan tidak kesampaian,' kata Encik Shukarnor Mutalib, 60 tahun, yang ditukil dalam laporan Harian Metro itu.

Encik Shukarnor juga mempertikaikan mengapa anaknya perlu dibawa ke penjara kerana Kartika Sari bukan seorang banduan dan hukuman penjara yang dijatuhkan kepadanya sudah diketepikan.

Pada 20 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ($2,052) dan enam sebatan ke atas Kartika Sari, selepas disabitkan kesalahan meminum arak.

Pada 1 Disember lalu, wanita itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan, kira-kira 11.40 malam, pada 11 Julai tahun lalu.

Encik Shukarnor berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada pegawai Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kira-kira 12 tengah hari kelmarin, yang memaklumkan Kartika Sari perlu melaporkan diri di Penjara Kajang, Selangor, pada 24 Ogos ini untuk menjalani hukuman sebat.

'Saya terus menghubungi Kartika untuk memaklumkan hal berkenaan dan dia bersetuju bertolak pulang ke kampung sebelum ke penjara bagi menjalani hukuman berkenaan. Difahamkan, Kartika akan ditahan seminggu untuk menjalani hukuman sebat dan selepas itu Kartika akan dibebaskan,' katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, kelmarin.

Namun, Encik Shukarnor berharap hukuman sebat ke atas anaknya dilaksanakan di depan khalayak awam, iaitu di tempat terbuka seperti dikehendaki Kartika Sari sendiri.

Harian Metro bagaimanapun gagal menghubungi Kartika Sari kerana difahamkan wanita itu kini dalam perjalanan ke kampung halamannya di Sungai Siput, dekat sini, selepas bertolak dari Singapura, kira-kira 4 petang kelmarin.

1 comment:

zeropersona said...

Terharu saya membaca artikel ini, bagus ini permulaan kepada penegakan hukum hudud, syukur agar ini menjadi pengajaran bagi anak-anak melayu ISLAM yang lain.

Posting Terkini