JAKARTA: Anak bongsu Allahyarham presiden Suharto, Encik Hutomo Mandala Putra, 47 tahun, yang lebih dikenali sebagai Tommy, kelmarin mengumumkan rancangan hendak merebut jawatan pengerusi Parti Golkar, demikian kata timbalan pengerusi Golkar, Encik Iskandar Mandji.
'Sekarang masa yang sesuai bagi saya kembali ke arena politik selain daripada mengendalikan perniagaan,' tegas Tommy, seperti ditukil agensi berita Antara.
'Saya mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu parti yang diasas dan dibangunkan oleh ayah saya,' tegas beliau.
Seorang daripada peguam Tommy, Encik Elza Syarief, berkata Tommy telah digesa beberapa pegawai Golkar supaya bertanding merebut jawatan tersebut kerana Tommy kini tidak lagi menghadapi sebarang kes guaman.
Beliau dibebaskan daripada penjara pada 2006 selepas menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana mengarahkan pembunuhan seorang hakim Mahkamah Agung.
Februari lalu, sebuah mahkamah Indonesia membebaskan Tommy berhubung kes projek kereta nasional Indonesia, manakala kes berhubung monopoli cengkih telah digugurkan tahun lepas.
Golkar tidak pernah kalah dalam pilihan raya semasa era Suharto, tetapi sokongan terhadap Golkar merosot pada pilihan raya parlimen April lalu.
Golkar sekarang dipimpin Naib Presiden, Encik Jusuf Kalla, tetapi ia akan mengadakan perhimpunan agungnya pada awal Oktober.
Meskipun Tommy mengendalikan perniagaan keluarganya sepanjang 32 tahun ayahnya berkuasa, yang berakhir pada 1998, beliau tidak mempunyai pengalaman politik.
Tommy menghadapi saingan kuat daripada calon lain, termasuk Encik Aburizal Bakrie, seorang jutawan dan Menteri Kebajikan Rakyat yang bakal melepas jawatan.
Cawangan Golkar di Jawa Tengah semalam berkata mereka tidak berminat menyokong Tommy.
'Kami belum bercakap mengenainya. Tetapi kami besar kemungkinan mengundi Encik Aburizal Bakrie,' kata ketua Golkar Jawa Tengah, Encik Noor Ahmad, kepada akhbar Tempo. -- AP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment