Filipina serang 30 pemberontak
MANILA: Askar Filipina bertempur dengan 30 pemberontak di pulau Mantangule, dekat Palawan, barat daya negara itu, menyebabkan tujuh gerila terbunuh dan dua ditangkap, kata para pegawai semalam.
Gerila yang dipercayai bekas anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu menahan tebusan dan memeras ugut wang daripada penduduk, menyebabkan ramai melarikan diri.
Selepas rundingan gagal, askar marin melancarkan operasi pagi semalam, kata jurucakap tentera laut, Leftenan Kolonel Edgar Arevalo. -- AP, AFP.
Potret MJ dijual 'jutaan dolar'
NEW YORK: Potret Michael Jackson yang dilukis pelukis terkenal Amerika Syarikat, Andy Warhol, pada 1984 dilelong dengan harga 'jutaan dolar' di sini kelmarin.
'Lelongan itu memuaskan,' kata Cik Janet Lehr, pemilik Vered Art Gallery, di Long Island, tetapi beliau enggan mendedahkan harga jualan.
Galeri itu pernah menganggarkan potret Jackson boleh meraih AS$10 juta ($14.5 juta). -- AFP.
Gabenor temu wakil Korea U
SANTA FE (New Mexico): Gabenor New Mexico dan bekas duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Encik Bill Richardson, semalam bertemu dua diplomat Korea Utara.
Pertemuan dengan Encik Kim Myong-Gil, wakil Korea Utara ke PBB, dan timbalannya diadakan di kediaman Gabenor Richardson di sini, kata jurucakap beliau Cik Alarie Ray-Garcia.
Namun, Encik Richardson tidak mengadakan rundingan dengan mereka atau mewakili pentadbiran Presiden Barack Obama. -- AFP.
Batal sidang Asean-PBB
BANGKOK: Sidang puncak antara Asean dengan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) di Thailand pada 23 hingga 25 Oktober dibatalkan selepas Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, tidak dapat hadir kerana sibuk, kata Kementerian Luar Thai semalam.
Encik Ban tidak dapat hadir kerana beliau perlu menghadiri Hari PBB pada 24 Oktober di New York. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment