JAKARTA: Polis Indonesia menahan seorang lelaki dipercayai warga Arab Saudi dan seorang lelaki setempat kerana disyaki menyeludup wang untuk membiayai serangan bom nekad yang mengorbankan sembilan orang di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton pada 17 Julai lalu, menurut laporan.
Polis Indonesia semalam mengesahkan mereka telah menahan lelaki warga Indonesia, Iwan Herdiansyah, dan lelaki warga Arab Saudi, Ali Muhammad bin Abdullah, kerana disyaki terlibat dalam serangan bom nekad di dua hotel berkenaan.
Mereka berdua diberkas di kejiranan Kuningan, Jawa Barat, beberapa hari lalu.
'Ali dan Iwan sedang disoal oleh pasukan kami untuk membuktikan kaitan mereka dengan negara lain dan dengan pembiayaan (serangan bom itu),' kata jurucakap polis Indonesia, Encik Nanan Soekarna, dalam satu sidang akhbar semalam.
'Kami berharap pasukan kami akan membuat lebih banyak tangkapan,' tambah beliau.
Ali dipercayai warga Saudi tetapi polis sedang memeriksa pengenalannya, kata Encik Soekarna.
'Kami mengesyaki dia warga Arab Saudi tetapi kami perlu membuktikan sama ada kerakyatannya itu palsu atau tidak,' tegas beliau.
Iwan pula disoal mengenai kaitannya dengan pengganas warga Malaysia, Noordin Mohammed Top, yang disyaki mendalangi serangan tersebut.
Encik Nanan semalam turut menunjukkan gambar empat orang lain yang sedang diburu polis kerana dipercayai terlibat dalam serangan pada 17 Julai lalu itu.
Mereka dikenal pasti sebagai Syaifudin Zuhri bin Djaelani Irsyad, Ario Sudarso, Mohamad Syahrir dan Bagus Budi Pranoto yang juga dikenali sebagai Urwah.
Urwah pernah dijatuhi hukuman tiga setengah tahun penjara pada 2004 kerana memberi perlindungan kepada Noordin, dan rakan subahatnya, Dr Azhari Husin, yang dibunuh polis pada 2005, kata Encik Soekarna.
Syaifudin, yang nama samarannya Udin atau Soleh, dipercayai terlibat merekrut pengebom nekad dalam serangan bulan lalu, kata Encik Soekarna.
Namun, peranan dua buruan lain tidak pula dinyatakan.
Para penganalisis berkata jika dana bagi serangan itu datang dari seberang laut, besar kemungkinan sumbernya ialah Al-Qaeda.
Tetapi polis Indonesia belum mengesahkan sebarang kaitan antara serangan hotel itu dengan Al-Qaeda.
Sebuah mahkamah Indonesia pada 2004 mendedahkan adanya wang tunai yang disalurkan daripada timbalan ketua Al-Qaeda ketika itu, Khalid Sheikh Mohammed, menerusi pelajar Indonesia yang belajar di Pakistan untuk membiayai serangan Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003.
Sumber polis yang ditukil pihak media berkata pihak berkuasa percaya dana bagi serangan bulan lalu dibawa penghantar surat dari Timur Tengah ke Indonesia pada Jun lalu.
Sumber polis memberitahu agensi berita Reuters bahawa mereka sedang menyiasat sama ada warga Yaman terlibat dalam merancang serangan bulan lalu. -- AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment