Oleh
Atiyyah Mohd Said
NIAT Encik Danial Abdul Rahman menyertai misi dagang ke Timur Tengah sebenarnya ialah mempromosikan syarikat pengilangannya.
Namun, lawatan anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) itu dua tahun lalu, ternyata membuka lembaran baru dalam perniagaannya apabila muncul peluang perniagaan baru dalam bidang perdagangan.
Hasilnya, Encik Danial menubuhkan sebuah syarikat perdagangan CT International Resources Pte Ltd tahun lalu, yang mengkhusus dalam penyumberan bahan binaan, komoditi, automobil dan pasar raya.
Ini setelah beliau memperolehi kontrak dan dilantik oleh salah sebuah syarikat pemaju dan binaan yang paling berpengaruh di Qatar, Al-Ajjaj Limited Co.W.L.L (AALCO), sebagai ejen utama penyumberan bahan di Asia.
Antara perniagaan syarikat AALCO termasuk dalam sektor perhotelan dan sekolah.
Selain itu, syarikatnya juga membekalkan produk seperti air minuman bertin dan jus buah-buahan kepada rangkaian pasar raya Lulu dan beberapa firma pengilangan di Oman.
Encik Danial juga pemilik syarikat pengilangan Comatechnics Pte Ltd and Comatechnics Sdn Bhd, yang mengkhusus dalam bidang seperti pembangunan produk, rekaan produk, kejuruteraan jitu dan pengurusan rantai bekalan (supply chain).
Sebelum ini, beliau memiliki kilang di Singapura namun memindahkan operasinya di Johor Bahru.
Berkongsi pengalamannya semasa dihubungi Ekoniaga, bapa dua anak itu berkata:
'Apabila saya menyertai rombongan misi dagang ke Timur Tengah yang termasuk Oman, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu, saya merancang untuk memperkenalkan syarikat-syarikat di sana kepada syarikat pengilangan kami.
'Namun, setelah berbincang lebih mendalam, saya mendapati mereka lebih berminat untuk mendapatkan sumber bahan untuk binaan dan automobil. Walaupun ini satu bidang baru bagi saya, saya rasa mengapa tidak?' kata Encik Danial.
Beliau, yang merupakan bekas jurutera procurement kanan di sebuah syarikat berbilang negara selama 12 tahun, menambah, setelah mengikuti misi itu beliau berulang-alik ke rantau tersebut selama satu setengah tahun untuk mendapatkan kontrak.
Encik Danial yang melabur daripada $200,000 hingga $250,000 untuk perniagaan baru berkata pengalaman menceburi bidang perdagangan bukan mudah apatah lagi berurusan dengan rantau yang berlainan budaya perniagaannya.
'Pertama kali di sana, saya harus mengambil banyak inisiatif sendiri dan memberikan buah fikiran untuk membangunkan perniagaan mereka.
'Mereka juga lebih gemar pertemuan fizikal daripada menggunakan e-mel atau telefon. Waktu mesyuarat pun tidak ditetapkan; tidak seperti kita di sini. Tetapi saya lihat amalan ini semakin berubah dalam kalangan generasi muda.
'Namun setelah mereka percaya kepada anda, mereka akan meminta anda melakukan segalanya dan yakin dengan anda,' ujar Encik Danial.
Kini beliau berjaya membekalkan kira-kira 50 jenis bahan binaan dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Menurut Encik Danial, syarikat setempat beruntung kerana jenama Singapura memang sudah terkenal di luar negara termasuk Timur Tengah dan 'selebihnya, hanyalah kerja keras dan keupayaan mewujudkan peluang perniagaan baru'.
'Para peniaga kita harus menyaksikan sendiri perkembangan dan peluang yang ada serta mengenal pasti rakan kerja yang sesuai. Kelebihan mengikuti misi dagang ialah kami dapat bertemu dengan syarikat-syarikat yang dipercayai.'
Mengenai rancangan masa depannya, Encik Danial mendedahkan kini beliau telah diminta oleh ALLCO supaya menubuhkan firma runding cara bagi sistem keselamatan kebakaran pada akhir tahun ini.
'Di Qatar hanya terdapat dua syarikat sahaja yang memberikan khidmat ini dan di sini, pasukan Pertahanan Awam Singapura telah dilantik untuk meluluskan sistem integrasi kebakaran. Jadi firma itu yakin bahawa saya mampu memberikan mutu yang baik tetapi ia sudah tentu cabaran baru bagi saya.'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment