Pages

Thursday, August 20, 2009

Sukar bagi BN, kecuali calon bersihkan nama

BARISAN Nasional (BN) akan menghadapi masalah besar dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, kecuali calonnya, Encik Rohaizat Othman, tampil untuk menjelaskan kedudukan beliau, demikian pandangan beberapa pemerhati dan pemimpin politik di Pulau Pinang.

Pembatalan lesen guaman calon BN-Umno itu kini dijadikan modal dan senjata tajam dalam kempen-kempen Pakatan Rakyat, khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan calonnya, Ustaz Mohd Salleh Man, 52 tahun, menjelang hari pengundian pilihan raya kecil itu Selasa ini.

Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Dr P. Sivamurugan, semasa dihubungi Berita Harian semalam berkata peluang BN untuk menambat hati pengundi di Permatang Pasir akan terhakis kecuali Encik Rohaizat, 38 tahun, secara peribadi menjelaskan isu yang dihadapi beliau 'dalam masa 24 jam akan datang'.

'Masalahnya sekarang ialah, calon itu sendiri (Rohaizat) masih belum tampil untuk menjelaskan kedudukan dan membersihkan namanya.

'Sebaliknya, kita sejauh ini hanya mendengar kenyataan daripada para pemimpin Umno seperti Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Penerangan Umno, Encik Ahmad Maslan,' kata Dr Sivamurugan.

Menurutnya, jika kedudukan Encik Rohaizat masih belum dijelaskan sendiri oleh calon BN itu, matlamat BN mengaup undian majoriti daripada pengundi Melayu akan 'berkesudahan sebaliknya'.

Tertekan, para pemimpin BN mencuba sedaya upaya untuk mempertahankan calonnya.

Encik Ahmad, dalam satu sidang akhbar malam di Permatang Pasir, kelmarin berkata Encik Rohaizat adalah 'mangsa keadaan', sambil mendakwa bahawa salah seorang rakan kongsi firma guaman beliau yang sebenarnya menyalahgunakan wang RM161,000 ($66,074) milik Penang Rubber Smallholders' Co-operative, pelanggan firma guaman itu.

Menurutnya, Encik Rohaizat telah membayar semula syarikat koperatif itu dengan wangnya sendiri dan wajar diberi pujian atas tindakannya itu.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Encik K. Ragunath, bagaimanapun, memberitahu laman berita The Malaysian Insider bahawa tindakan Encik Rohaizat membayar semula wang itu tidak akan mengubah fakta bahawa beliau telah melanggar etika profesionnya dan melakukan kesalahan serius.

Naib Presiden PAS, Encik Salahuddin Ayub, pula dilaporkan oleh pihak media Malaysia sebagai berkata isu tersebut akan menjejas usaha kempen BN dan melanggar konsep '1Malaysia' yang sedang cuba disebarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Jika mereka mahu bercakap tentang integriti dan 1Malaysia, mengapa tidak mereka pilih calon lebih baik? Ini tidak ada kena-mengena dengan Umno, ia tentang rakyat, tentang wakil yang akan berkhidmat kepada rakyat,' kata beliau.

Seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang bagaimanapun berkata 'ia sudah tidak menjadi isu lagi' bagi BN kerana Encik Rohaizat kini boleh disifatkan sebagai 'seorang penyelamat' dan 'bukan lagi seorang yang tidak boleh dipercayai'.

Mendedahkan kepada Berita Harian atas syarat namanya tidak didedahkan, sumber Umno itu berkata memang benar Encik Rohaizat seharusnya menjelaskan isunya sendiri tetapi beliau lebih selesa menggunakan jurucakapnya untuk berbuat demikian 'mungkin kerana tidak mahu menjejas peluang rayuannya di mahkamah'.

Permatang Pasir mempunyai 20,350 pengundi berdaftar, dengan pengundi Melayu membentuk lebih 72 peratus.

No comments:

Posting Terkini