SHAH ALAM - Perniagaan konsep bazar yang menempatkan peniaga-peniaga kecil, sedang dirancang untuk diwujudkan di bangunan yang dikenalpasti padat penghuni di negeri Selangor.
Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, rancangan itu dirancang dikemukakan kepada Dewan Negeri yang bersidang minggu ini.
Menurutnya, langkah itu dapat membantu peniaga kecil, berniaga dengan lebih selesa, berbanding di kaki lima ketika ini.
“Untuk peniaga-peniaga kecil dan untuk mereka membeli barang-barang murah saya lihat di Selangor, di bangunan-bangunan padat, tidak disediakan bazaar-bazar akibatnya peniaga kecil akan berniaga di tepi jalan bahkan di tepi rumah orang”, katanya.
Bercakap kepada TV Selangor di Shah Alam hari ini, beliau berkata ia juga dapat mengurangkan tumpuan peniaga-peniaga kecil di pasar-pasar malam dan di hadapan rumah, selain berniaga di kaki lima kedai.
Menurut beliau, di negara maju, banyak bazar untuk peniaga yang menjual barang-barang dengan harga yang murah di celah-celah bangunan-bangunan pesat, bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga, malah dapat menarik pelancong untuk membeli produk tempatan.
“Saya akan usulkan dalam dewan ini supaya disediakan tapak-tapak khas untuk membuat bazar-bazar di kawasan pembangunan padat di seluruh negeri Selangor”, jelasnya.
Yaakob berkata, ketika ini belum ada bazar seperti itu yang diwujudkan di Malaysia, menyebabkan peniaga semakin tersepit untuk bersaing dengan gedung-gedung perniagaan yang besar. - KEMALIA OTHMAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment