KUALA LUMPUR: Tujuh keluarga yang mendiami lima buah rumah setinggan di Jalan Pudu di sini kini hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam satu kebakaran awal pagi ini.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2 pagi itu, ketika penghuni rumah terbabit sedang tidur.
"Pada masa kejadian kesemua penghuni sedang tidur, bagaimanapun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri," kata Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail.
Beliau berkata, api merebak pantas memandangkan rumah yang terbabit terlalu rapat antara satu sama lain selain struktur bangunan yang dibina daripada papan.
Tujuh buah jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran.
Azizan berkata, sebuah van dan dua buah motosikal penghuni serta sebuah stor turut terbakar.
Katanya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ahli keluarga mangsa kejadian kini menumpang di rumah jiran. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment